top of page

Sokong ketegasan PM arah siasatan telus insiden tembakan di Melaka - Prakash

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 6 hours ago
  • 2 min read

ree

Gesaan Perdana Menteri agar pihak polis segera menyiasat insiden tembakan yang dilepaskan pasukan itu sehingga meragut tiga nyawa pemuda India suspek kes jenayah di Durian Tunggal, Melaka baru baru ini disokong Pengarah Strategi KEADILAN Johor, Prakash Maniam (gambar).


Menurut Prakash, arahan Perdana Menteri kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Ismail untuk memastikan siasatan yang “telus, terbuka dan profesional” membuktikan Kerajaan Madani komited kepada prinsip keluhuran undang-undang, keadilan, dan ketelusan.


"Arahan Perdana Menteri ini menunjukkan kerajaan Madani berpegang kepada prinsip keluhuran undang-undang, keadilan, dan ketelusan dalam setiap tindakan melibatkan penguatkuasaan," katanya dalam satu kenyataan.


Mengulas lanjut, Prakash menyokong pendirian tegas Anwar bahawa kerajaan tidak akan melindungi mana-mana penjenayah, namun pada masa sama tidak akan bertolak ansur terhadap dakwaan salah laku melibatkan pihak polis.


"Kenyataan Perdana Menteri bahawa kerajaan tidak melindungi penjenayah, tetapi tidak juga melindungi tindakan yang bercanggah dengan undang-undang, termasuk oleh pihak polis sendiri amat selaras dengan prinsip reformasi institusi," ujar Ketua Cabang KEADILAN Tebrau itu.


Beliau berkata pendekatan itu penting untuk memulihkan kepercayaan rakyat terhadap institusi keselamatan dan memastikan tiada unsur penyalahgunaan kuasa.


Prakash menegaskan bahawa pihaknya menghormati ketegasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjaga keselamatan negara, namun sebarang dakwaan pelanggaran SOP atau insiden tembakan mestilah disiasat secara terbuka.


"Siasatan yang telus bukan sahaja melindungi hak keluarga mangsa, tetapi juga menjaga imej PDRM daripada tercemar akibat tindakan yang tidak mengikut prosedur."


Mengulas dakwaan bercanggah dan kewujudan rakaman audio yang menunjukkan kemungkinan kerjasama mangsa tembakan ketika ditahan, Prakash berkata, hanya siasatan bebas oleh Bukit Aman akan dapat menjelaskannya.


Oleh itu, kata beliau, siasatan yang dijalankan perlulah bebas daripada tekanan pihak tertentu; menilai semua bukti secara objektif; dan memberi keadilan kepada keluarga mangsa serta anggota polis terlibat.


Sehubungan itu, Prakash menyifatkan arahan tegas Perdana Menteri itu sebagai bukti komitmen kerajaan terhadap pembaharuan institusi dan perlindungan hak rakyat. Manakala semua pihak perlu menunggu keputusan hasil siasatan dengan tenang dan sabar.


"Kami menyeru agar semua pihak bertenang dan memberi ruang kepada proses siasatan berjalan secara profesional dan bebas.

Kebenaran mesti ditegakkan. Keadilan mesti diberikan kepada Semua," katanya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page