top of page

Sokong keputusan Mahkamah Tinggi Sabah, kedaulatan undang undang makin kukuh

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 19
  • 2 min read

ree

Keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan telah bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa Perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad disambut baik Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Roland Engan (gambar).


Beliau berkata, keputusan bersejarah itu bukan sahaja mengembalikan hak rakyat Sabah yang telah lama tertangguh, tetapi juga menegaskan bahawa prinsip kedaulatan undang-undang dan kebebasan kehakiman kini semakin terjamin di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.


"Saya mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang memutuskan bahawa kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad," katanya dalam kenyataan.


Beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Sabah Law Society (SLS) atas kejayaan mereka membawa kes tersebut ke mahkamah hingga mencapai keputusan penting bagi masa depan Sabah.


"Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Sabah Law Society susulan kejayaan dalam kes ini. Keputusan mahkamah ini menekankan jaminan perlembagaan yang termaktub dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan," ujarnya.


Menurut Roland, keputusan tersebut memperkukuh keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman negara yang bebas dan berintegriti.


"Keputusan ini menunjukkan bahawa kedaulatan undang-undang dan kebebasan kehakiman di bawah Kerajaan MADANI adalah semakin baik," katanya.


Dalam masa sama, beliau menyeru agar Kerajaan Sabah yang baharu selepas pilihan raya negeri nanti serta Kerajaan Persekutuan bekerjasama memastikan pelaksanaan keputusan mahkamah dapat dilakukan dengan lancar dan adil.


"Saya berharap penuh agar Kerajaan Sabah yang baru selepas pilihanraya nanti dan Kerajaan Persekutuan mempermudahkan perlaksanaan keputusan Mahkamah tersebut," katanya lagi.


Kelmarin, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad.


Keputusan itu disampaikan oleh Hakim Datuk Celestina Stuel Galid yang menyifatkan pemberian khas yang dibuat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah sebagai 'tidak sah, ultra vires dan tidak rasional,' serta melanggar Perlembagaan Persekutuan.


Mahkamah turut mengeluarkan perintah mandamus yang mengarahkan Kerajaan Persekutuan mengadakan semakan semula hasil bersama Kerajaan Negeri Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan bagi menegakkan semula hak 40 peratus hasil Sabah bagi setiap tahun kewangan dari 1974 hingga 2021.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page