Sogok wang: PH N Sembilan bidas fitnah terhadap calon DUN Chuah
- Azuan Ab Rahman
- 9 hours ago
- 1 min read

Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan membidas dakwaan pihak tertentu yang mendakwa berlaku pemberian wang kepada pengundi di kawasan Chuah.
Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun (gambar) menegaskan, tuduhan yang sengaja ditularkan menjelang hari pengundian itu merupakan kempen berniat jahat untuk mencemarkan nama baik calon PH.
"Bila makin dekat hari mengundi, kempen fitnah semakin hebat. Dakwaan kononnya pengundi Chuah diberi duit adalah tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan keharmonian masyarakat. Budaya fitnah ini perlu dihentikan segera," katanya.
Terdahulu, calon DUN Chuah, Datuk Yew Boon Lye membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Pelandok berhubung penularan video yang mendakwa terdapat individu disyaki mengagihkan wang di kawasan berkenaan.
Boon Lye yang juga penyandang kerusi DUN Chuah menegaskan beliau tidak pernah terlibat, merestui atau mengarahkan mana-mana individu menawarkan wang atau apa-apa bentuk imbuhan sebagai pertukaran mendapatkan undi.
Menurutnya, beliau juga tidak pernah meminta mana-mana pihak melakukan perbuatan sedemikian bagi pihaknya malah menentang sekeras-kerasnya amalan politik wang dan pembelian undi.
"Menggunakan wang untuk mempengaruhi pilihan pengundi bukan sahaja melanggar undang-undang pilihan raya malah mencabuli hak pengundi untuk membuat pilihan secara bebas serta merosakkan keadilan dan maruah sistem demokrasi," katanya dalam satu kenyataan.
