SKMM siasat pemilik akaun media sosial didakwa fitnah Majlis Raja-Raja
- Suara Keadilan

- Jul 19
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang menyebarkan naratif palsu berkaitan isu-isu Agama, Kaum dan Institusi Diraja (3R).
Menerusi satu kenyataan Suruhanjaya itu memaklumkan, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan terhadap seorang individu yang memuat naik kandungan palsu menyentuh Institusi Diraja menerusi akaun Facebook miliknya.
"Kandungan tersebut dipercayai mengandungi dakwaan palsu kononnya Majlis Raja-Raja telah membuat keputusan awal berhubung pelantikan Ketua Hakim Negara.
"Dakwaan tersebut telah mengelirukan orang ramai dan menjejaskan integriti sistem perundangan negara, serta kewibawaan Institusi Diraja," katanya.
Sementara itu Suruhanjaya itu memaklumkan, individu terbabit telah dipanggil bagi membantu siasatan dan diambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Jumaat.
Susulan itu, satu siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588],
"Jika disabitkan kesalahan boleh membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali," tegas SKMM.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah baru-baru ini menegaskan bahawa pelantikan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan serta hakim-hakim kanan mahkamah atasan hendaklah dilakukan mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan secara telus dan berhati-hati.
Sehubungan itu, baginda menyeru semua pihak agar mengelakkan daripada membuat sebarang spekulasi dan tuduhan negatif tanpa memperoleh fakta yang lengkap dan sahih mengenai sesuatu perkara.









Comments