Skandal Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) berhubung dakwaan kartel kontrak baja berbilion ringgit tidak pernah berlaku pada era pentadbiran Kerajaan Madani sebagaimana didakwa pemimpin pembangkang.
Menurut mantan Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, Mohd Hisyamuddin Ghazali atau Syam Ghaz, naratif yang dimainkan oleh seorang pemimpin Pas kononnya pentadbiran Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim lemah dan berhadapan reputasi buruk berikutan penggantungan Perlembagaan NAFAS adalah tuduhan yang tersasar jauh daripada fakta.
Beliau berkata demikian mengulas tulisan Timbalan Pengerusi Pas Kedah yang disiarkan lidah rasmi parti itu kelmarin.
"Krisis di NAFAS berlaku zaman kamu jadi Kerajaan PN 33 bulan Bro!
"Isu NAFAS nampaknya (seolah olah) Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Mohd Suffian Yusoff nak kambing hitamkan kerajaan sekarang. Walhal ia berlaku pada zaman PN berkuasa.
"SPRM sudah mengesahkan skandal baja NAFAS RM1.8 bilion berlaku tahun 2020-2023, dan projek runding terus baja 15,000 tan bernilai RM60 juta kepada anak syarikat di Singapura itu berlaku Jun 2022," kata beliau dalam catatan di Facebook.
Tempelak Syam, ADUN Bandar Baharu tersebut harus faham kronologi peristiwa sebelum beliau serkap jarang mendakwa Kerajaan Madani kononnya terlibat dalam penyelewengan berkenaan.
Malah, katanya, pemimpin Pas perlu berterima kasih kepada pentadbiran PM dan Menteri Pertanian Datuk Seri Mohamad Sabu kerana skandal itu berjaya dibongkar dan tidak meneruskan polisi era Kerajaan PN yang membiarkan sahaja perkara itu berlaku.
"Waktu itu (2020) Muhyiddin jadi PM, Hadi Awang jadi Duta Timur Tengah, Ronald Kiandee jadi Menteri Pertanian dan Timbalan Menteri Pertanian adalah Nik Zawawi, Ahli Parlimen Pas Puteh (Pas).
"Krisis ini berjaya dibongkarkan era Kerajaan Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri, iaitu sekarang.
"Tahniah PMX kerana serius ingin banteras rasuah dan kartel di NAFAS," katanya lagi.
Terdahulu, siasatan SPRM mendapati kontrak pembekalan baja bernilai kira-kira RM60juta yang dilakukan secara runding terus telah dibuat dalam tempoh masa enam hari pada sekitar bulan Jun 2022.
Setakat ini, tiga individu sudah ditahan termasuk seorang eksekutif pemasaran berhubung perkara itu.
Sehubungan itu, Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang di bawah Seksyen 20(1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 telah menggantung Perlembagaan NAFAS berkuat kuasa pada 1 November 2024 sebagai usaha untuk memulihkan pertubuhan itu secara holistik.
Dalam tulisannya, Dr Mohd Suffian mendakwa penggantungan Perlembagaan NAFAS menonjolkan kelemahan kepimpinan PM, menjejaskan reputasi Mohamad Sabu dan ianya juga didakwa akan menjejaskan bantuan baja dan benih kepada petani kecil.
Comments