Beberapa NGO semalam membuat laporan polis berhubung skandal pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang telah ditempah sejak sedekad lalu tetapi tidak disiapkan.
Menurut Pengerusi Pertubuhan Akademi Pendidikan Demokrasi dan Kewarganegaraan Malaysia, Amidi Abdul Manan (gambar, tengah), skandal kapal tersebut mungkin menambah rekod 'keluarbiasaan' Malaysia dengan menghasilkan kapal halimunan.
"Kita buat laporan polis apabila mendapati laporan Jawatankuasa Kira kira Wang Negara (PAC) baru baru ini berkaitan satu lagi keajaiban di Malaysia.
"Pihak kementerian tidak tahu sama ada kapal itu wujud atau tidak. Namun wang telah dibayar. Ada yang kata kapal telah siap, ada kata sedang dibina. Ada kata 2 tahun lagi sampai.
"Ini merupakan satu perkara cukup malang bagi Malaysia yang dipimpin oleh mereka yang memalukan ini. Kita tidak boleh diam selaku rakyat Malaysia," katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.
Mantan Senator Datuk Ismail Yusof yang turut mengiringi laporan polis itu pula berkata, perkembangan skandal tersebut sangat mengejutkan kerana membabitkan kewangan berbilion ringgit serta mencemar institusi istana Perak.
"Bagi Tok Abah pembentangan PAC itu mengejutkan kita, kerana projek ini bukan hanya melibatkan berbilion ringgit tetapi mengaibkan, apabila sudah ada pelancangan dibuat melibatkan institusi Raja. Bagi kita, khususnya masyarakat Melayu muslim, ini tindakan cukup mengaibkan.
"Juga dalam konteks urus tadbir dalam keadaan ekonomi sukar, indeks rasuah tinggi, tiba tiba kita dihadapkan laporan mengejutkan ini.
"Bagi kita ini perlu tindakan segera, SPRM perlu ambil tindakan yang tuntas terhadap mereka yang terlibat sehingga mengakibatkan perkara yang dilaporakn PAC ini," katanya.
Sementara itu, wakil pertubuhan wanita Sangeetha Jayakumar pula menyalahkan kerajaan BN kerana skandal itu berlaku di tengah tengah kesensaraan hidup rakyat.
"Saya mewakili NGO wanita. Ramai akar umbi bertanya soalan, dengan keadaan ekonomi meruncing dan rakyat hadapi pelbagai masalah bagaimana perkara ini boleh berlaku
"RM6 bilion kita sebut senang tetapi apakah maksud kepada rakyat? Kalau nak beli bakul makanan RM300, berapa banyak boleh dibeli dengan jumlah RM6 bilion.
"Ini tak ada jawapan dari Menteri. Duit dibayar kepada siapa, di mana kapal?
"Kita juga terkejut kerana syarikat (terlibat bina LCS adalah) yang sama dengan pembelian kapal selam (Scorpene yang terlibat rasuah di Malaysia dan Perancis). Ada sesuatu yang perlu di siasat," katanya lagi.
Kommentare