Skandal 1MDB tidak berlaku jika sistem regulasi kewangan diperbaki



Oleh: Lim Kit Siang


ULASAN AHLI PARLIMEN: Mungkin tidak akan berlaku skandal 1MDB yang melibatkan berbilion dolar yang telah dikatakan sebagai "kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk" sekiranya cadangan Jawatankuasa Siasatan Bumiputera Malaysia Finance (BMF) telah dilaksanakan oleh kerajaan Mahathir pada tahun 1986.


Perkara ini menarik perhatian saya apabila saya membaca memoir Chooi Mun Sou yang bertajuk – “Malaysia My Home – Quo Vadis”.


Peguam terkenal Chooi adalah salah seorang daripada tiga orang ahli Jawatankuasa Siasatan BMF yang ditubuhkan pada bulan Januari 1984, diketuai oleh Ketua Audit Negara ketika itu, Tan Sri Ahmad Nordin sebagai Pengerusi bersama dengan akauntan, Ramli Ibrahim, untuk menyiasat skandal yang bernilai RM2.5 bilion tersebut – yang kemudiannya disifatkan Mahathir sebagai “jenayah terkutuk”, tetapi saya tambah lagi sebagai,” jenayah terkutuk tanpa penjenayah”.


Saya teringat ucapan saya di Parlimen mengenai Laporan Akhir Jawatankuasa Siasatan BMF pada bulan Mac 1986, di mana saya memberikan amaran bahawa melainkan jika konspirator skandal ini dibawa ke muka pengadilan, satu lagi skandal perbankan atau kewangan yang 10 atau 20 kali ganda lebih besar daripada skandal BMF akan terjadi – dan malangnya perkara ini benar-benar terjadi, tiga dekad kemudian dalam bentuk skandal mega 1MDB!


Ketidakjujuran menghancurkan negara


Pada tahun 1979, di Perhimpunan Agung Umno, Perdana Menteri ketika itu, Hussein Onn memberi amaran bahawa “negara akan hancur jika pemimpinnya tidak jujur, tidak amanah dan korup” dan menyatakan harapan supaya isu kegagalan Bank Rakyat akan menjadi “pengajaran pahit kepada institusi dan agensi kerajaan lain termasuk syarikat dan anak syarikat yang ditubuhkan oleh Kerajaan”.


Skandal Bank Rakyat yang dirujuk Hussein Onn pada Perhimpunan Agung Umno 1979 melibatkan $150 juta, manakala skandal BMF pula 20 kali lebih besar berbanding dengan skandal Bank Rakyat.


Skandal 1MDB yang kini menghantui Malaysia adalah satu perkara yang amat berbeza sama sekali.


Menteri Kewangan, Tengku Zafrul memberitahu Parlimen pada bulan Mac bahawa hutang 1MDB yang ditanggung kerajaan adalah sebanyak RM32.3 bilion dengan RM6.5 bilion lagi dalam bentuk faedah pinjaman yang perlu ditanggung, manakala Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Azam Baki, berkata baru-baru ini jumlah aset yang dilucuthakkan dan dikembalikan kepada kerajaan Malaysia tahun lepas adalah bernilai kira-kira RM5.1 bilion, dengan 99.57 peratus daripadanya berkaitan dengan 1MDB.


Adakah akan ada Presiden Umno sama ada tahun ini atau tahun depan yang berani, seperti Hussein Onn, memberi amaran di Perhimpunan Agung Umno bahawa Malaysia akan hancur jika pemimpin negara bersifat tidak jujur, tidak amanah dan korup – dan jika ada lagi skandal 2MDB atau 3MDB dalam Malaysia?


Perkara ini nampaknya seperti tidak akan berlaku memandangkan punca skandal 1MDB, yang menyebabkan negara ini menjadi sebutan buruk di seluruh dunia sebagai sebuah kleptokrasi, sedang mencuba untuk menjadi juara menentang rasuah sambil menafikan bahawa 1MDB adalah satu skandal mega yang melibatkan amanah, penipuan dan rasuah!


Penglibatan ahli politik ditenggelamkan


Dalam Parlimen Mac 1986, saya menyeru supaya sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk membuat siasatan susulan terhadap petunjuk baharu dan menyiapkan kerja Jawatankuasa Siasatan BMF Ahmad Nordin untuk mendedahkan mana-mana pemimpin politik yang terlibat dalam skandal BMF yang bernilai RM2.5 bilion ini. Malangnya, perkara ini tidak dilakukan.


Seperti yang dicatatkan dalam memoir Chooi, punca utama skandal BMF akhirnya menerima nasib yang menanti mereka:


Lorraine Osman dikenali sebagai banduan terlama yang tidak disabitkan dengan apa-apa kesalahan dalam sejarah Britain di mana dia menentang ekstradisi selama tujuh tahun, tetapi akhirnya mengaku bersalah di Hong Kong atas satu pertuduhan konspirasi untuk menipu melibatkan AS$292 juta. Dia dijatuhkan hukuman penjara satu tahun selepas hakim mengambil kira pengakuannya dan tujuh tahun masa yang dihabiskan di penjara Brixton. Disebabkan tempoh tahanan remannya di Hong Kong, dia hanya menjalani hukuman selama 53 hari.


Hisham Shamsuddin mengaku bersalah atas empat pertuduhan, dua pertuduhan bersubahat menipu dan dua menerima rasuah, dan dijatuhkan hukuman penjara empat setengah tahun yang kemudiannya dinaikkan kepada 10 tahun apabila dia membuat rayuan. Selepas dipenjara selama tujuh tahun, dia dibebaskan.


Rais Saniman akhirnya diekstradisi dari Perancis ke Hong Kong pada 1994, di mana dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan konspirasi untuk menipu BMF dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun


Tiada yang bersalah di Malaysia?


George Tan, seorang pendatang tanpa izin di Hong Kong yang pada ketika itu menubuhkan Kumpulan Carrian, seorang muflis yang belum dilepaskan di Singapura, telah ditangkap di Hong Kong pada 3 Oktober 1983. Dia akhirnya dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun pada 1996 selepas dia mengaku bersalah atas tuduhan konspirasi untuk menipu BMF.


Tetapi apa yang perlu diberikan perhatian adalah hakikat di mana semua tindakan terhadap pengarah Bank Bumiputra/BMF dan George Tan ini bukanlah hasil usaha Kerajaan Malaysia, sebaliknya pihak berkuasa Hong Kong.


Sungguh tragis bahawa skandal BMF menyebabkan dua kematian – pembunuhan auditor dalaman Bank Bumiputra yang dihantar untuk menjadi pembantu pengurus utama BMF di Hong Kong, Jalil Ibrahim, pada bulan Julai 1983, dan juga kejadian bunuh diri peguam kanan John Wimbush.


Memang tepat untuk Chooi menamakan memoirnya – “Malaysia My Home – Quo Vadis”.


_______________________________________________________________________________

Penulis merupakan Ahli Parlimen Iskandar Puteri

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER