SJKT: Kementerian terbuka teliti garis panduan pemindahan sekolah
- Suara Keadilan

- 1 day ago
- 1 min read

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyatakan kesediaan untuk meneliti semula Garis Panduan Pinda Lokasi Sekolah bagi menangani isu sekolah kurang murid, khususnya di SJKT.
Menterinya Fadhlina Sidek berkata, kementerian itu sentiasa terbuka menyemak kriteria sedia ada demi memastikan keutamaan pendidikan diberikan kepada semua jenis sekolah secara adil dengan mengambil kira aspek lokasi, demografi dan keperluan pendidikan semasa.
"Isu-isu SJKT ini melibatkan soal komuniti, dan sebab itu sesi libat urus sangat penting di peringkat komuniti. Selain daripada garis panduan, pendekatan kita mesti juga ada sesi libat urus," katanya dipetik laporan media tempatan.
Fadhlina berkata begitu sebagai mengulas isu dibangkitkan Senator, Dr RA Lingeshwaran berkaitan isu SJKT yang mengalami kesukaran untuk berpindah ke lokaliti yang mempunyai permintaan lebih tinggi susulan kekurangan murid di sekolah sedia ada.
Sementara itu pada sesi tersebut Fadhlina turut memaklumkan kepada Ahli Dewan mengenai perkembangan projek pembinaan bangunan Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) (SJKT) Sungai Bakap, Pulau Pinang..
Projek yang tertangguh sejak 2015 itu kini sedang giat dibina dan dijangka siap sepenuhnya pada suku keempat 2027.
"Projek berkenaan diteruskan selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan kos siling sebanyak RM12,667,367.59 dengan Yayasan Didik Negara dilantik sebagai agensi pelaksana.
"Ia bakal merangkumi pembinaan blok gantian penuh bangunan sekolah yang dilengkapi enam bilik darjah, pejabat am, bilik khas serta kemudahan lain," katanya.




Comments