top of page

Sivamalar pertahan integriti Dr Zaliha selepas rencana penghargaan diputar belit

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Dec 24, 2025
  • 1 min read
Sivamalar (kanan) bersama Dr Zaliha sewaktu menjadi Menteri Kesihatan dan Menteri Wilayah
Sivamalar (kanan) bersama Dr Zaliha sewaktu menjadi Menteri Kesihatan dan Menteri Wilayah

Oleh: Azuan Ab Rahman


Bekas setiausaha politik kepada Dr Zaliha Mustafa mendakwa, rencana penghargaan peribadi ditulisnya mengenai Dr Zaliha telah dipetik semula di luar konteks sehingga mencetuskan salah faham dan spekulasi awam mengenai dakwaan cubaan rasuah.


G Sivamalar berkata, susulan itu beliau membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menjelaskan dakwaan bahawa bekas Menteri Kesihatan itu pernah ditawarkan rasuah untuk menggugurkan dasar Generasi Penamat (GEG) tembakau yang bertujuan melarang merokok kepada mereka yang lahir selepas 2007.


"Artikel berkenaan tidak pernah bertujuan untuk menuduh sebarang salah laku atau mencadangkan wujudnya pembabitan tidak wajar. Ia semata-mata bertujuan menonjolkan integriti dan kepemimpinan Dr Zaliha.


"Malangnya, sebahagian kecil kandungan dipetik di luar konteks dan menjadi tular, sekali gus menimbulkan salah faham," katanya dalam kenyataan.


Sementara itu Sivamalar menegaskan, ketika menulis artikel penghargaan itu, beliau cuba mengimbas kembali insiden kira-kira dua tahun lalu, selepas Dr Zaliha yang ketika itu Menteri Kesihatan mengumumkan bahawa kementerian sedang menyediakan perundangan berkaitan produk merokok dan vape.


Tambahnya, dalam tempoh seminggu selepas pengumuman itu, pelbagai pihak cuba mengadakan pertemuan dengan Dr Zaliha.


"Apabila ditanya tujuan pertemuan, jelas niat mereka adalah untuk merundingkan penarikan balik rang undang-undang yang dicadangkan dengan isyarat tawaran tertentu disampaikan secara tersirat.


"Apabila dimaklumkan kepada Dr Zaliha, beliau secara tegas menolak untuk bertemu serta mengarahkan supaya mereka diminta beredar. Dr Zaliha tidak pernah bertemu mereka mahupun melayan sebarang perbincangan seumpama itu.


"..(jadi) sebarang tanggapan sebaliknya adalah tidak tepat dan berpunca daripada petikan yang disalah tafsir," tambahnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page