Sistem subsidi BUDI95 tidak benar orang kaya guna petrol murah tanpa had
- Suara Keadilan
- 1 hour ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Langkah Kerajaan MADANI memperkenalkan subsidi petrol RON95 di bawah inisiatif BUDI95 merupakan satu pendekatan yang lebih adil dan progresif.
Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN Pusat, Nabil Halimi menegaskan, masyarakat tidak lagi boleh bergantung kepada sistem subsidi pukal yang memberi manfaat kepada semua lapisan sebagaimana sebelum ini.
Katanya, sistem subsidi baharu boleh mengurangkan pembaziran wang kerajaan apabila setiap individu yang memiliki lesen memandu aktif diberikan kuota 300 liter petrol bersubsidi sebulan, manakala individu kaya memiliki kereta berkuasa tinggi atau lebih sebuah kenderaan perlu membeli petrol dengan harga pasaran semasa.
''Apabila orang kaya yang pakai kereta besar dan ada banyak kenderaan pun dapat subsidi sama (subsidi pukal) seperti rakyat biasa yang hanya mempunyai satu kenderaan kecil, itu sebenarnya tidak efisien dan membazirkan sumber negara.

''Melalui BUDI95, kerajaan telah meletakkan syarat iaitu 'kuota 300 liter sebulan' yang saya kira mencukupi untuk majoriti pengguna berpendapatan rendah dan sederhana.
''(Mereka) yang menggunakan lebih (bahan api) itu, kemungkinan besar mempunyai kapasiti kewangan yang lebih tinggi.
"Oleh itu adalah tidak adil untuk mereka terus menikmati subsidi yang sepatutnya disasarkan kepada golongan memerlukan,'' katanya ketika dihubungi Suara Keadilan hari ini.
Beliau ditanya mengenai subsidi tersebut yang bertujuan mengelakkan golongan berpendapatan tinggi, khususnya mereka yang memiliki banyak kenderaan, daripada terus menikmati subsidi seperti dalam sistem subsidi pukal.
Mengulas lanjut, Nabil berkata, subsidi tersebut datang daripada wang rakyat dan jika dapat disasarkan dengan lebih tepat, ia bukan sahaja membantu golongan yang benar-benar memerlukan malah turut mengurangkan pembaziran wang negara.
Jelas beliau, penjimatan itu kemudiannya boleh disalurkan kepada sektor lain seperti kesihatan, pendidikan dan pembangunan infrastruktur.
''Apa yang penting sekarang ialah pelaksanaan yang telus, sistematik dan mudah diakses oleh golongan sasaran.
''Kita tidak mahu ada golongan tercicir hanya kerana kekangan maklumat atau proses yang terlalu rumit.
''Ini bukan langkah populis dan mungkin tidak dipersetujui oleh semua pihak, tetapi langkah ini wajar dan perlu serta ia merupakan langkah ke arah reformasi fiskal yang sihat.
''Sebagai rakyat, kita harus melihat daripada sudut jangka panjang demi kelestarian ekonomi negara,'' ujarnya lagi.