Sistem semakan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terganggu dan gagal diakses sejak malam tadi menyebabkan kesukaran pengundi untuk membuat semakan lokasi pusat mengundi.
Sehubungan itu, Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pihak SPR segera menangani masalah berkenaan.
"Pakatan Harapan terima banyak aduan rakyat terkait kegagalan mengakses laman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menyemak tempat mengundi mereka sejak malam tadi," katanya.
Beliau mahu masalah tersebut diperbaiki bagi melancarkan proses pembuangan undi sehingga jam 6 petang hari ini.
"Kepincangan ini amat dikesali kerana SPR seharusnya melakukan segala persediaan untuk memastikan segalanya lancar menjelang hari pengundian.
"Justeru, SPR didesak untuk segera memperbetul masalah ini," katanya.
Bagaimanapun semakan Suara Keadilan mendapati laman web pendua kepada MySPR Semak di pautan https://semak.info/ masih beroperasi dengan baik.
Pengundi yang bermasalah dinasihatkan ke laman web alternatif berkenaan untuk mengetahui lokaliti mengundi masing masing.
Comments