Sistem percukaian dan pembiayaan politik perlu diperbaikki bagi mengurangkan ketidaktelusan yang berlaku pada hari ini.
Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, reformasi sistem percukaian telah dimulakan ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang lalu, begitu juga akta pembiayaan politik cuba digubal.
Malangnya, kata Shamsul, PH tumbang selepas 22 bulan dan kerajaan berikutnya enggan meneruskan reformasi berkenaan.
"Kebelakangan ini timbul pelbagai cadangan mengenai sistem percukaian yang tidak adil dan keperluan untuk menggubal akta pembiayaan politik seperti mana yang ditimbulkan oleh YB Syed Saddiq.
"Beliau menyatakan rasa kesal berhubung cadangan ketika Pakatan Harapan memerintah yang telah gagal dilaksanakan setelah PN mengambil alih kerajaan.
"Soalan yang perlu ditanya oleh Syed Saddiq ialah kenapa Perdana Menteri ketika itu tidak segera melaksanakan agenda yang telah dibincangkan dan diangkat sebagai janji PRU14 setelah beliau menerajui kerajaan.
"Tindakan lengah ini telah merencatkan banyak agenda reformasi institusi yang sepatutnya disegerakan dan akhirnya menjejaskan imej PH," kata Shamsul dalam satu kenyataan.
Selain itu, menurut Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu, reformasi ekonomi perlu dilihat dalam kerangka yang lebih besar dan tidak harus disempitkan kepada perubahan sistem percukaian atau pembiayaan politik semata-mata.
Katanya, reformasi itu harus merangkumi perubahan kepada sistem berat sebelah yang memberi kelebihan dan tidak adil kepada golongan kaya serta akses kepada penjawat tinggi politik.
"Perubahan ini perlu dituju kepada sistem ‘rent-seeking’ yang memperkayakan para pemuka perniagaan, hanya berasaskan kepada hubungan baik mereka dengan pemuka politik.
"Sistem yang lahir dan menjadi tunjang 22 tahun pentadbiran Perdana Menteri ke-4 ini perlu diubah.
"Perubahan sistem percukaian dan pembiayaan politik semata-mata tanpa mengambil kira kerangka lebih menyeluruh dalam memperbetulkan sistem dan tatacara pengurusan ekonomi yang telah membarah sekian lama tidak akan mampu melahirkan sistem yang lebih adil dan saksama," katanya.
Menurut beliau, hanya satu kerajaan yang sama sekali membawa konsep perjuangan menjunjung nilai reformasi akan mampu melaksanakan perubahan tersebut. Sebaliknya kerajaan yang dianggotai oleh pemimpin terikat dengan konsep ‘rent-seeking’, kronisme dan nepotisme tidak akan mampu merobah sistem bejat tersebut.
Comments