top of page

Sikap tidak hormat institusi Raja Melayu ditempelak - Pemuda AMANAH Johor



Tuduhan tular di media sosial oleh penyokong pembangkang kononnya Sultan yang menjadi ketua agama 'tidak menjaga agama Islam' sebaik baiknya ditempelak oleh Pemuda AMANAH Johor.


Ketua Pemuda AMANAH Johor, Muhammad Taqiuddin Cheman berkata, dakwaan berkenaan tidak wajar dilakukan oleh penyokong parti pembangkang yang memperjuangkan Melayu terhadap institusi teras Melayu itu sendiri.


Hal itu, katanya, boleh memecah belah masyarakat dengan naratif menyeru untuk tidak taat setia kepada Sultan.


"Rakyat Malaysia, terutama dalam kalangan pemimpin parti politik seharusnya menunjukkan contoh taat setia kepada institusi beraja dalam negara yang menjadi tunjang negara kita dan penjaga kepada agama Islam serta adat istiadat Melayu.


"Menyalurkan pendapat adalah hak setiap individu, tetapi itu juga harus diiringi dengan sikap yang bertanggungjawab dan penuh rasa hormat terhadap institusi Raja raja Melayu," katanya dalam satu kenyataan.


Oleh itu, Pemuda AMANAH menasihati rakyat Malaysia agar menahan diri daripada menulis sesuatu yang dapat memicu rasa tidak taat masyarakat kepada Raja raja. Apatah lagi naratif terbabit dibina daripada sangkaan semata mata.


"Sultan dan Raja raja tidak bermain politik sebagaimana sesetengah pihak dalam menanggapi isu isu berkait sensitiviti agama, sehingga dituduh tidak peduli.


"Islam di Malaysia berada dalam kedudukan terbaik sebagai agama rasmi Persekutuan, dengan dakwah yang terus berkembang pesat di seluruh lapisan masyarakat.


"Pertumbuhan institusi agama seperti masjid, madrasah, dan pusat kegiatan Islam juga semakin meluas, mencerminkan komitmen yang kuat terhadap keagamaan dan kebudayaan Islam di negara ini," katanya lagi.


Tambah beliau, kejadian atau insiden tidak hormat kepada institusi diraja perlu dikenakan tindakan segera oleh pemerintah agar hal itu tidak berpanjangan dan menjadi kebiasaan.


Terdahulu, tular di media sosial seorang penyokong pembangkang berkata beliau tidak menadah tangan dalam doa khutbah Jumaat di sebuah masjid di Johor apabila khatib mendoakan kesejahteraan ke atas keluarga Sultan, dan kembali menadah tangan selepas itu apabila doa melibatkan rakyat.


Tindakan itu menerima pelbagai reaksi di media sosial, malah dikecam sebagai biadap kepada Sultan dan keluarga diraja.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page