Sikap ‘cemburu buta’, ‘dendam kesumat’ punca pembangkang keluar dewan
- Suara Keadilan
- Feb 27, 2024
- 2 min read

Oleh: Abdullah Zaid
Sikap ‘cemburu buta’ dan ‘dendam kesumat’ terhadap Kerajaan Perpaduan disifatkan sebagai pendorong pihak pembangkang untuk keluar daripada Dewan Rakyat petang tadi.
Ungkapan itu digambar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan tindakan pihak pembangkang yang memprotes ucapan tahniah kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-17 selain merakamkan penghargaan kepada Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Agong sebelum ini.
"Saya bantah keras sikap pembangkang keluar takkala kita nak ucap tahniah kepada Agong dan kita nak rafak sembah tahniah dan terima kasih atas khidmat YDPA lalu.
"Tidak ada kena mengena sama sekali terhadap YDPA semalam.
"Saya sepatutnya datang pagi tadi, dan kita ada kunjungan rasmi daripada Perdana Menteri Kemboja sebab itu saya mohon kebenaran Speaker supaya benarkan pembentangan jam 2.30 petang sebab perjumpaan (Perdana Menteri Kemboja) selesai jam 1.45 petang tadi," katanya menerusi ucapan di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum itu, Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin (PN-Larut) bangkit mempersoalkan keperluan untuk merakamkan penghargaan itu memandangkan ucapan itu wajar dibuat pada belah pagi tadi.
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) itu sebaliknya mencadangkan ucapan tersebut ditangguhkan pada minggu ketiga sesi perbahasan Parlimen.
Justeru, Perdana Menteri menyifatkan tindakan itu tidak munasabah memandangkan ucapan penghormatan adalah keutamaan yang mengikut aturan Dewan Rakyat.
"Ia menunjukkan sikap pembangkang yang tidak sopan terhadap menghormati institusi Yang di-Pertuan Agong," ujarnya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut membidas tuduhan Ketua Pembangkang yang mendakwa teks ucapan Titah Diraja disediakan oleh Kerajaan itu adalah tidak tepat.
Perdana Menteri menegaskan, sebarang cadangan melalui teks itu masih boleh diperhalusi oleh Ketua Negara itu bagi menambah sebarang bentuk cadangan dalam ucapan baginda.
"Saya nak tegur Titah Diraja masih titah baginda walaupun dalam perkara pokok merujuk kepada cadangan kerajaan.
"Tentunya ada ruang untuk ditambah dan diperkukuhkan termasuk hal-hal yang menyakitkan hati mereka, jadi itulah yang menjadi masalah mereka sekarang," katanya.
Semalam, Titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitah bahawa semua pihak harus menerima kenyataan dan menghormati Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk.
Menerusi ucapan sulung di Dewan Rakyat itu baginda menegaskan untuk tidak tidak mahu melayan mana-mana pihak yang cuba menganggu gugat Kerajaan Perpaduan.
Peringatan Ketua Negara itu dilihat memberi tamparan hebat kepada pihak pembangkang yang sebelum ini banyak melakukan siri pintu belakang bagi menumbangkan pemerintahan Madani.
Comentários