Oleh: Abdullah Zaid
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang menggesa calon Pas, Abidin Ismail membariskan kelayakan akademiknya yang sebenar dan meneliti semula biodata bahawa beliau dianugerahi sijil ISO 14001.
Menurut Ketua Penerangan AMK Pulau Pinang, Abshar Nurasyraf, pemberian sijil piawaian antarabangsa Sistem Pengurusan Alam Sekitar (EMS) itu biasanya diberikan kepada sektor pengilangan dan bukan kepada individu.
"Tiada keperluan ISO dijadikan sebagai kelayakan peribadi, sedangkan ia hanya diberikan kepada kepada syarikat perkilangan. Jadi isunya sekarang di mana kelayakan sebenar calon?
"Menjadi seorang pemimpin perlu ada sikap jujur dan bertanggungjawab kepada rakyat bagi memberi peluang kepada pengundi memilih siapa yang paling layak," katanya kepada Suara Keadilan.
Oleh itu, Abshar menasihatkan calon Pas agar membariskan pencapaian akademik beliau dari sekolah rendah sehingga universiti sebagaimana dilakukan oleh calon calon dari parti lain.
Terdahulu, tular warganet mempersoal kelayakan calon Perikatan Nasional (PN) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap susulan kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mendakwa Abidin memiliki sijil ISO 14001 sejak 2015.
Menyifatkan sebagai luar biasa, Tuan Ibrahim berkata, pencapaian Ketua Lajnah Penerangan Pas Kawasan Nibong Tebal itu bukan calon ‘biasa-biasa’ untuk berhadapan dalam PRK Sungai Bakap.
Mengulas lanjut Abshar berkata, sebaliknya calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin sememangnya diperakui memiliki ijazah kedoktoran dan berketrampilan di tengah tengah masyarakat untuk dipilih sebagai wakil Perpaduan.
"Beliau aktif dalam kerja-kerja lapangan dan kemasyarakatan. Saya fikir sosok Dr Joohari tidak perlu dipertikaikan kerana beliau cukup dikenali oleh masyarakat Sungai Bakap.
"Selain itu, beliau merupakan seorang guru yang telah banyak menabur bakti. Jadi tidak perlu dipertikaikan lagi kelayakannya untuk diangkat sebagai ADUN Sungai Bakap," ujarnya lagi.
Untuk rekod, Dr Joohari pemegang ijazah kedoktoran (PhD) dari Universiti Sains Malaysia (USM) selain berpengalaman luas dalam bidang latihan kepimpinan serta pengurusan pentadbiran pendidikan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 2 Julai.
PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangmya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas kerana mengalami keradangan dalam perut.
Comentários