Sidang Parlimen 5 hari yang akan diadakan mulai 26 Julai ini tidak boleh dihadkan kepada hanya mendengar taklimat daripada menteri sebagaimana yang dijadualkan.
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah mengurus surat kepada Spekaer Dewan Rakyat Azhar Harun hari ini, mengingatkan agar tidak menyekat perbahasan dan sesi soal jawab pada sidang tersebut.
"Saya mengutuskan sepucuk surat kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat bagi mendesak beliau sebagai ketua majlis untuk memastikan ruang perbahasan dibuka seluas-luasnya kepada Ahli-ahli Parlimen sewaktu Sidang Dewan Rakyat akan datang.
"Perkara ini mustahak bagi membincangkan hal-hal mendesak tatkala negara berhadapan keadaan yang sangat mencabar dan rumit saat ini.
"Ingin ditekankan, keberkesanan perlaksanaan program-program kerajaan dalam mendepani pandemik Covid-19 hanya akan dapat diketahui serta ditambah baik apabila Ahli-ahli Parlimen diberi ruang menyuarakan cadangan dan pandangan semasa perbahasan," katanya.
Ahli Parlimen Port Dickson itu menekankan peranan asas Parlimen adalah menyemak perbelanjaan dan pelaksanaan program kerajaan dan hal itu tidak boleh diketepikan dalam apa jua keadaan.
"Harus diingat, peranan semak imbang Dewan Rakyat mestilah dimartabat bukan disekat. Ahli-ahli Parlimen tidak dibayar untuk hadir menggangguk dan mengiyakan semua perkara tanpa perbahasan yang tuntas dan terperinci," katanya lagi.
Sebelum ini, Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata sesi penuh persidangan Dewan Rakyat hanya akan bermula pada 6 September.
Manakala sidang Parlimen yang diumumkan bermula 26 Julai hingga 2 Ogos adalah persidangan khas Dewan Rakyat.
Kenyataan itu dibidas banyak pihak sebagai memperlecehkan titah Yang di-Pertuan Agong agar mengadakan sidang Parlimen sebelum 1 Ogos.
Comments