
Sidang Nadi Rakyat esok akan menjadi forum pencetus suara rakyat untuk didengari oleh pihak Kerajaan BN - PN dan juga pembangkang Pakatan Harapan (PH) sekiranya mereka diangkat sebagai kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke 15.
Menurut Timbalan Pengerusi Sekretariat Sidang Nadi Rakyat, Senator Fadhlina Sidek, forum berkenaan yang akan diteruskan di Hotel Crystal Crown, Petaling Jaya esok akan mencatat sejarah sebagai pentas luahan rintihan rakyat dalam period waktu kenaikan harga barang serta inflasi yang tidak terkendali.
"Walaupun pihak penganjur sebelum ini berhadapan pelbagai tekanan untuk tidak meneruskan acara tetapi kami berpendirian Sidang Nadi Rakyat ini mesti terus dilaksanakan sebagai pentas forum untuk rakyat bersuara dan para pemimpin negara mesti mendengar rintihan dan kesengsaraan rakyat yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup bermula hari ini, 1 Julai, 2022.
"Sidang Nadi Rakyat ini akan menghimpunkan seluruh segmen rakyat yang terkesan secara langsung dan akan diberikan ruang untuk membicarakan isu kenaikan kos sara hidup, keciciran peluang pendidikan, keselamatan wanita dan kanak-kanak serta implikasi terhadap anak muda yang terhimpit dengan isu-isu membelenggu seputar kos sara hidup," katanya.
Menurut calon Ketua Wanita KEADILAN itu lagi, sidang berkenaan menjemput sekelian rakyat untuk hadir menyuarakan pandangan dan memperjuangkan hak hak asasi mereka.
"Ini merupakan pentas rakyat untuk bersuara dan kami menjemput seluruh rakyat Malaysia untuk hadir bersama menyuarakan pandangan, pendirian serta bersama dalam memperjuangkan hak fundamental rakyat.
"Sidang ini juga akan dihadiri oleh Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan dan sesi penggulungan sidang akan ditutup oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pimpinan utama PH," katanya lagi.
Justeru, sebagai tanda solidariti Fadhlina menganjurkan semua jemputan atau peserta yang hadir memakai baju berwarna putih sebagai mendukung perjuangan mengembalikan hak rakyat.