Sidang khas: Kerajaan terbuka, ujian kepada pembangkang sumbang idea
- Suara Keadilan
- May 5
- 2 min read

Sidang Khas Parlimen berkenaan isu tarif dikenakan Amerika Syarikat ke atas Malaysia yang diadakan hari ini mencerminkan keterbukaan kerajaan untuk menerima sumbang saran daripada semua pihak demi masa depan ekonomi negara.
Menurut Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Arshad Hassni, sikap kerajaan itu seharusnya dipuji kerana tidak mengepikan pembangkang dalam membuat keputusan bersama mengenai isu penting menyangkut kepentingan negara dan rakyat.
"Langkah menjemput semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang untuk sama-sama berbincang menunjukkan keterbukaan dan kesediaan kerajaan untuk meraih penyelesaian bersama dalam isu yang berkait rapat dengan masa depan ekonomi negara.
"Isu ini tidak seharusnya dilihat dari lensa politik semata-mata, sebaliknya sebagai satu cabaran geopolitik yang memerlukan kerjasama rentas parti.
"Dengan ketidaktentuan global serta persaingan ekonomi serantau yang semakin mencabar, adalah penting untuk Malaysia tampil dengan suara yang bersatu. Sidang khas ini adalah isyarat jelas kepada rakyat bahawa kepimpinan negara bersedia mendahulukan kepentingan negara mengatasi perbezaan politik," katanya dalam kenyataan.
Menurut Arshad lagi, usaha tersebut memberi peluang kepada pihak pembangkang, khususnya Perikatan Nasional, untuk membuktikan kematangan mereka sebagai blok politik yang mampu menawarkan idea dan cadangan dasar, bukan sekadar memainkan politik sentimen perkauman yang sempit.
Sidang itu, katanya adalah peluang terbaik untuk mereka keluar daripada naratif lama dan menunjukkan kesediaan untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian isu isu nasional.
"Saya yakin pentadbiran Kerajaan MADANI akan terus konsisten dalam menjaga kepentingan negara, termasuk mengekalkan kedudukan strategik Malaysia yang bersifat neutral dalam persekitaran geopolitik antarabangsa.
"Pendekatan ini penting untuk memelihara keyakinan pelabur dan mengekalkan daya saing Malaysia dalam pasaran global," katanya lagi.
Justeru beliau berharap sidang khas akan membuka ruang kepada penyelesaian yang konstruktif dan rundingan yang sedang dijalankan oleh kerajaan dengan pihak Amerika Syarikat akan membuahkan hasil yang positif demi kepentingan negara.
Comments