Sidang BRICS: Malaysia suarakan isu besar ekonomi, teknologi, alam sekitar
- Suara Keadilan

- Jul 8
- 2 min read

Sidang BRICS 2025 yang berakhir semalam menjadi medan untuk Malaysia menyuarakan secara lantang pelbagai isu termasuk kesihatan global, keadilan iklim dan pembiayaan mampan yang saling berhubung kait dan menuntut pendekatan bersepadu, holistik, berskala besar dan berteraskan keadilan dalam menanganinya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia turut menyambut baik pelancaran "BRICS Partnership for the Elimination of Socially Determined Diseases", yang mencerminkan pengiktirafan usaha menangani penyakit tidak akan berjaya tanpa menangani ketidaksaksamaan sosial serta kemiskinan struktural di peringkat akar umbi.
"Saya menegaskan akses saksama kepada vaksin, sistem kesihatan awam yang berdaya tahan serta kawal selia rantaian bekalan ubat global adalah isu keselamatan antarabangsa, bukan sekadar agenda kesihatan.
"Kegagalan dalam perkara ini boleh mencetuskan ketidaktentuan serantau dan mengancam pembangunan mampan sejagat.
"Dalam hal perubahan iklim, Malaysia kekal komited kepada peralihan karbon rendah yang kredibel dan adil, berpaksikan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETP) serta sasaran pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
"Namun saya tekankan bahawa dasar tanpa sumber tidak akan membuahkan hasil. Pembiayaan iklim hari ini masih jauh daripada mencukupi, terutamanya bagi negara membangun yang terdedah kepada risiko iklim berganda," katanya dalam muat naik di Facebook.
Dalam isu iklim pula, PM bersetuju dengan Kerangka Mengenai Pembiayaan Iklim oleh BRICS. Beliau menekankan keperluan untuk menterjemah deklarasi kepada tindakan konkrit termasuk pengwujudan instrumen pembiayaan yang lebih berkesan, akses saksama kepada dana konsesi dan penyelarasan yang lebih erat antara institusi kewangan serantau serta global.
Sebagai pengerusi ASEAN, katanya, Malaysia sedang memacu agenda memperkukuh kesepaduan serantau dalam tindakan iklim, memperluas akses kepada pembiayaan hijau, menyeragamkan piawaian dan menjadikan Asia Tenggara sebagai hab pelaburan mampan yang berdaya saing.
"Saya akhiri sesi intervensi dengan menyeru agar COP30 di Belém, Brazil menjadi detik peralihan sebenar daripada retorik kepada pelaksanaan.
"Keadilan iklim bukan hanya tentang niat, tetapi tentang bagaimana kita mengagih modal, mengurus risiko dan memikul tanggungjawab secara kolektif. Masa untuk berhujah telah berakhir.
"Kini adalah masa untuk bertindak dengan bersama dengan berani serta dalam skala yang mampu menyelamatkan masa depan bersama," katanya lagi.
Selain itu dalam ruang waktu terhad antara persidangan, PM sempat bertemu Presiden Indonesia, Presiden Chile, Premier China, Timbalan Perdana Menteri Kazakhstan, Menteri Luar Rusia, Menteri Luar UAE dan Menteri Luar Republik Islam Iran sekali gus mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan kesemua negara tersebut.
BRICS pada waktu ini dianggotai oleh 11 negara iaitu Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan, Bangladesh, Emiriah Arab Bersatu, Mesir, Algeria, Colombia dan Uzbekistan.
Penyertaan Malaysia dalam sidang kemuncak kali ini adalah atas kapasiti sebagai Negara Rakan BRICS serta Pengerusi ASEAN 2025.
Malaysia telah secara rasmi menjadi Negara Rakan BRICS pada 1 Januari tahun ini.









Comments