Sidang ASEAN: Penjawat awam, pelajar sekolah kerja, belajar dari rumah
- Suara Keadilan
- 1 hour ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Penjawat awam yang bekerja di sekitar lokasi Sidang Kemuncak ASEAN yang akan diadakan pada akhir bulan ini, dibenarkan untuk bekerja dari rumah.
Perkara itu disahkan oleh Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil dalam sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri, di Putrajaya hari ini.
"Dalam masa yang sama, Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengenal pasti sejumlah sekolah yang berada dalam kawasan laluan-laluan utama bagi sidang kemuncak.
"Senarai sekolah ini akan diumumkan dan para pelajar akan dibenarkan untuk melakukan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). KPM akan mengeluarkan senarai penuh sekolah dalam masa terdekat.
"Kita juga telah berbincang mengenai pekerja syarikat swasta yang mana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar menyatakan bahawa syarikat-syarikat swasta yang berpengakalan di kawasan-kawasan sidang kemuncak digalakkan untuk membenarkan pekerja mereka bekerja dari rumah bagi tempoh sidang kemuncak tersebut," katanya lagi.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang dijadual berlangsung pada 26 dan 27 Mei ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dijangka menghimpunkan hampir 20,000 individu termasuk perwakilan, peserta, anggota sekretariat serta kakitangan sokongan.
Sebanyak 19 ketua negara dijangka hadir termasuk dari negara Teluk dan China.
Selain itu, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 turut menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN bersama Rakan Dialog pada Oktober.
Sidang Kemuncak ASEAN kali ini bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ bakal menghimpunkan 10 pemimpin negara anggota ASEAN bagi membincangkan isu serantau serta memupuk kerjasama ekonomi selain memperjuangkan prinsip keterangkuman dan kemampanan.