Sibuk serang UMNO, jawatan presiden Pas pun tidak dipertandingkan
- Suara Keadilan

- Mar 9, 2023
- 2 min read

KEADILAN Cabang Kemaman mempersoalkan sikap penyokong Perikatan Nasional (PN) terutama dari Pas yang mempertikaikan keputusan UMNO untuk tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden parti itu.
Dalam satu kenyataan media, KEADILAN Kemaman menyifatkan pihak yang menyerang UMNO itu sebagai mengalami amnesia atau sakit lupa ingatan.
"Di sebalik lontaran tuduhan itu (tidak pertanding jawatan), satu perkara yang ingin ditanyakan kepada penyokong Pas, berapa kalikah jawatan Presiden Pas dipertandingkan sejak era kepimpinan ulama?
"Setiap kali pemilihan Pas di sepanjang kepimpinan Hj Hadi Awang, tiada sebarang perebutan jawatan presiden kecuali pada tahun 2015. Pada ketika itu pun pelbagai tohmahan dilemparkan terhadap ustaz Ahmad Awang oleh penyokong setia presiden kerana mencabar presiden Pas.
"Jadi kenapa penyokong Pas beria-ia mempertikaikan keputusan ahli UMNO untuk tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden mereka sedangkan di dalam Pas sendiri ahli-ahlinya cukup kuat mempertahankan presiden sehingga tiada penggantian presiden sejak 2002 sehingga sekarang?" soal kenyataan itu.
Kepimpinan ulama di dalam Pas bermula dengan perletakan jawatan Allahyarham Datuk Asri Muda sebagai presiden Pas pada muktamar 1982 dan digantikan oleh Allahyarham Datuk Yusof Rawa.
Yusof Rawa kemudian meletakkan jawatan sebagai Presiden Pas dan diganti oleh Allahyarham Datuk Fadzil Noor pada 1989 sebelum diganti Hj Hadi Awang yang menang tanpa bertanding.
"Penyokong Pas begitu ghairah menyerang UMNO tetapi lupa melihat diri sendiri yang kuat melaungkan demokratik tetapi lupa kepada presiden sendiri yang telah lebih 20 tahun memegang jawatan.
"Jika betul Pas bersikap demokratik maka seharusnya sudah ada pertukaran jawatan presiden," kata kenyataan itu lagi sambil menegaskan UMNO menukar presidennya sebanyak tiga kali sepanjang Hj Hadi mengetuai Pas.
Pada Januari lalu, Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata proses undian usul tambahan supaya tiada pertandingan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden UMNO mendapat lebih 90 peratus sokongan perwakilan.
Keputusan itu katanya demi mengekalkan solidariti dalam parti selain bagi memastikan parti tersebut dapat bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.




Comments