top of page

Sibuk perjuangan Melayu, cari pengkhianat, siapa mahu turunkan raja bertakhta?

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
5 hours ago
1 min read

Jangan terlalu sibuk mencari pengkhianat di luar sehingga terlupa bahawa pengkhianatan juga boleh berlaku dalam kalangan bangsa sendiri, kata mantan Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mokhtar (gambar).


Beliau berkata, terdapat pihak yang mendakwa diri sebagai pejuang Melayu, mentohmah kononnya pemimpin DAP campur tangan dalam institusi raja Melayu, namun kini terdedah merekalah yang memperlekeh institusi Raja Melayu.


Malah, katanya, tindakan lebih serius apabila ada pihak yang sanggup membenarkan Raja Melayu diturunkan daripada takhta tanpa sebab kukuh.


"Hari ini ada yang mengaku sebagai pejuang Melayu, tetapi dalam masa yang sama sanggup memperlekeh atau mempertikaikan institusi Raja Melayu.


"Tak cukup setakat itu sehingga ada yang sanggup menurunkan Raja Melayu dari takhta tanpa alasan yang munasabah.


"Itu bukan perjuangan," katanya dalam muat naik di media sosial.


Menurut Fakhrulrazi, perjuangan mempertahankan bangsa bukan sekadar melaungkan nama Melayu, sebaliknya turut menuntut penghormatan terhadap sejarah, adat, institusi dan maruah bangsa.


"Jangan kerana taksub kepada politik dan individu, kita lupa perkara yang lebih besar," katanya.


Beliau berkata sejarah telah membuktikan bahawa bangsa yang mudah dipecah-belahkan akan lebih mudah diperalatkan oleh pihak tertentu.


Dalam pada itu, Fakhrulrazi turut mendoakan agar Allah SWT memelihara Raja-Raja Melayu serta melindungi institusi Raja dan memberikan kebijaksanaan kepada seluruh rakyat.


Beliau berkata perbezaan pandangan adalah perkara biasa dalam masyarakat, namun tindakan mengkhianati amanah dan sejarah merupakan perkara yang berbeza.


"Berbeza pandangan itu biasa.


"Mengkhianati amanah dan sejarah adalah perkara lain," katanya.


Beliau menyeru agar rakyat Malaysia mentaati raja dan menolak pihak yang bermain politik untuk menurunkan raja dan menaikkan pilihan mereka.


"Daulat Tuanku. Semoga kita tidak lagi mudah diperbodohkan," tegasnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page