Siasatan RCI TH: SPRM reman dua individu dakwaan rasuah jutaan ringgit
- Suara Keadilan
- 22 hours ago
- 2 min read

Siasatan khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji mula menunjukkan perkembangan apabila dua individu direman bagi membantu siasatan dua kes berasingan membabitkan dakwaan rasuah dan penyelewengan kontrak bernilai jutaan ringgit.
Kedua-dua tangkapan itu adalah yang pertama dibuat oleh pasukan khas SPRM bagi menyemak serta meneliti penemuan dalam Laporan RCI Tabung Haji yang didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu.
Suspek pertama ialah seorang pengarah syarikat reka bentuk berusia lingkungan 50-an yang ditahan kira-kira pukul 7.30 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.
Lelaki itu disyaki memberi rasuah dalam bentuk pembiayaan kerja pengubahsuaian empat kediaman milik seorang bekas ketua pegawai operasi (COO) sebuah badan berkanun dengan nilai keseluruhan kira-kira RM300,000.
Siasatan awal percaya pemberian tersebut dilakukan sebagai balasan bagi membantu syarikat suspek memperoleh beberapa projek pengubahsuaian di badan berkanun berkenaan sepanjang tempoh 2014 hingga 2018.
Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman suspek selama dua hari sehingga 5 Ogos bagi membantu siasatan, lapor media tempatan.
Dalam kes berasingan, SPRM turut menahan seorang bekas pengurus ladang berusia lingkungan 50-an yang disyaki terbabit dalam penyelewengan kontrak pembekalan anak benih getah bernilai kira-kira RM8 juta.
Menurut siasatan awal, kontrak berkenaan membabitkan pembekalan kepada dua syarikat perladangan yang merupakan anak syarikat sebuah badan berkanun dan dipercayai berlaku antara 2015 hingga 2017.
Suspek yang pernah bekerja dengan sebuah syarikat pembekalan anak benih di Lembah Klang itu ditahan kira-kira pukul 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
Mahkamah turut membenarkan permohonan reman terhadap suspek selama tiga hari sehingga 6 Ogos.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman mengesahkan kedua-dua penahanan berkenaan.
Beliau berkata kes membabitkan pengarah syarikat disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 manakala kes melibatkan bekas pengurus ladang disiasat mengikut Seksyen 18 akta yang sama.
Pendedahan Laporan RCI Tabung Haji pada minggu lalu mendedahkan pelbagai penemuan berkaitan kelemahan tadbir urus, pengurusan serta transaksi yang berlaku dalam tempoh beberapa tahun sebelum pelan pemulihan institusi itu dilaksanakan.
Susulan itu, SPRM menubuhkan satu pasukan khas bagi meneliti setiap penemuan dalam laporan berkenaan dan mengambil tindakan lanjut sekiranya wujud unsur rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa.
