Oleh: Abdullah Zaid
Tindakan pembangkang yang sering menuduh Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pendendam susulan siasatan rasuah terhadap bekas pemimpin negara dan keluarga mereka tidak berasas sama sekali.
Malah, siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu hanyalah prosedur biasa dan bukannya dipengaruhi pihak tertentu.
Bagi Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh, prinsip keadilan itu wajar difahami iaitu meletakkan sesuatu pada tempatnya tanpa mengira musuh, kawan, darjat atau kedudukan.
"Tuntutan (keadilan) ini lebih penting di kalangan pemerintah dan pentadbir.
"Pada pendapat saya, Anwar sebagai Perdana Menteri (PM) sedang melaksanakan amanah ini dengan seadilnya menurut lunas undang-undang dan bidang kuasa masing-masing," katanya kepada Suara Keadilan.
Justeru, beliau yang juga Pengerusi Kaukus Palestin Parlimen Malaysia menyeru pihak pembangkang memberi kepercayaan kepada agensi penguatkuasa yang komitmen mereka menjalankan siasatan tanpa mengira latar belakang individu mahupun dipengaruhi pihak tertentu.
"Soal siasatan terserah kepada agensi penguatkuasa seperti PDRM dan SPRM. Soal dakwaan oleh Peguam Negara dan soal perbicaraan dan kehakiman di bawah mahkamah. Ia bukan soal berdendam.
"Ia bukan kerana musuh politik. Ia soal keadilan. Apakah apabila sesuatu kes melibatkan musuh atau lawan politik maka kes wajar digugurkan?," soalnya.
Dalam hal berkaitan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan siasatan yang dijalankan badan pencegah rasuah tidak seharusnya dikaitkan dengan sebarang bentuk muslihat oleh kerajaan ketika ini.
Bahkan, tegasnya, tindakan siasatan dilaksana agensi penguat kuasa negara mesti menunjukkan contoh keberanian khususnya dalam mengambil tindakan terhadap perasuah besar.
Comments