Siasatan polis yang akan dilakukan ke atas Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa menghasut rakyat menolak darurat dianggap tidak sepatutnya berlaku oleh Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Katanya, semakan kehakiman yang dipohon Anwar adalah di dalam kerangka perundangan serta tidak menyalahi Perlembagaan Persekutuan.
"Anwar meminta semakan kehakiman untuk melihat adakah pihak eksekutif telah memberikan nasihat yang betul kepada Yang Di-Pertuan Agong, bukan menentang tindakan Yang Di-Pertuan Agong.
"Maksudnya tuntutan semakan kehakiman ini dilakukan kepada terhadap eksekutif, bukannya institusi monarki. Beberapa pemimpin lain turut melakukan semakan kehakiman terhadap keadaan darurat yang sedang berlaku.
"Perkara ini bukanlah hal yang baharu, Pas juga pernah mempersoal Pengisytiharan Darurat 1977 di Kelantan.
"Mahkamah harus dibenarkan mendengar semua hujah berkaitan isu darurat tanpa campur tangan pihak lain," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Ketua Setiausaha Pengelola KEADILAN tidak bersetuju polis digunakan untuk mengganggu tugas Ahli Parlimen melakukan proses semak dan imbang di bawah sistem demokrasi.
"Menggunakan pihak polis untuk menyiasat dan menekan wakil rakyat yang sedang berkhidmat dan Ketua Pembangkang menjalankan amanah semak dan imbangnya kepada pihak eksekutif bertentangan dengan prinsip demokrasi.
"Disebabkan hal ini, intimidasi terhadapnya tidak sepatutnya berlaku dan harus dikecam," katanya lagi.
Comments