top of page

Siasatan pendedahan RCI TH bukti PH pertahan kepentingan Melayu

  • Writer: Sidiqin Omar
    Sidiqin Omar
  • 6 hours ago
  • 2 min read

Pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji (TH) serta tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan terhadap dapatan laporan itu membuktikan kesungguhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) membanteras salah laku dalam institusi yang menguruskan aset orang Melayu.


Ketua Cabang KEADILAN Pengerang, Faizul Abdul Ghani berkata, penubuhan RCI Tabung Haji merupakan kesinambungan perjuangan yang telah diperjuangkan pemimpin PH sejak sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 bagi memastikan institusi itu diurus secara telus dan berintegriti.


Menurut beliau, pendedahan dalam laporan RCI dan tindakan susulan oleh SPRM menunjukkan kerajaan tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk salah tadbir urus atau penyalahgunaan kuasa, walaupun melibatkan tokoh yang pernah berada di kedudukan tertinggi.


"PH sejak sebelum PRU 2018 lagi konsisten menuntut supaya pengurusan Tabung Haji disiasat dan diperbetulkan. Hari ini rakyat dapat melihat bahawa komitmen itu bukan sekadar janji politik apabila laporan RCI didedahkan dan SPRM mula mengambil tindakan berdasarkan dapatan tersebut.

Faizul Abdul Ghani
Faizul Abdul Ghani

"Ini membuktikan kerajaan benar-benar serius membanteras salah laku dalam institusi yang menguruskan aset dan kepentingan umat Islam serta orang Melayu," katanya kepada Suara Keadilan.


Faizul berkata, perkembangan itu juga menjawab fitnah yang dilakukan pemimpin Umno dan Pas pada era 2019 lalu kononnya PH cuba menjual aset Tabung Haji kepada bukan Islam melalui Menteri Kewangan dari DAP.


Sedangkan RCI mengakui tindakan itu betul dalam mengasingkan aset rugi TH ke dalam syarikat lain di bawah Kementerian Kewangan agar TH mampu mencatat keuntungan dan membayar dividen seterusnya.


Malangnya, kata beliau, apabila RCI didedahkan kepada umum kedua dua parti itu pula bergabung dalam pilihanraya Negeri Sembilan menjatuhkan PH.


"Selama ini Umno dan Pas memainkan naratif bahawa PH pro-Cina dan tidak menjaga kepentingan Melayu.


"Namun apabila kerajaan mengambil tindakan mendedahkan salah tadbir urus serta membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan, kedua-dua parti itu pula bergabung untuk menjatuhkan kerajaan yang mengangkat prinsip ketelusan dan akauntabiliti.


"Jadi, rakyat perlu bertanya, siapa sebenarnya yang menjaga kepentingan orang Melayu? Adakah mereka yang menutup salah laku, atau kerajaan yang berani mendedahkan dan mengambil tindakan terhadap mereka yang menyalahgunakan amanah?" katanya.


Beliau berkata, institusi seperti Tabung Haji hanya akan terus diyakini jika diurus dengan tadbir urus yang baik, bebas daripada campur tangan politik serta dipantau secara telus.


Katanya, tindakan mendedahkan kelemahan pentadbiran bukan bermaksud menjatuhkan institusi berkenaan, sebaliknya bertujuan memulihkan integriti dan memastikan simpanan jutaan pendeposit terus dilindungi demi kepentingan generasi akan datang.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page