Misteri yang tidak terselesaikan di Malaysia sejak hampir 2 dekad lalu seperti rasuah pembelian kapal selam scorpene dan pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shariibuu boleh diselesaikan dengan siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC)
Supremo DAP Lim Kit Siang berkata demikian mengulas kes pendakwaan syarikat Perancis, Thales, yang dibawa oleh kerajaan Perancis atas tuduhan bersubahat dengan rasuah dalam urusniaga kapal selam Scorpne.
Menurut Kit Siang, PAC boleh berbuat demikian dibawah peruntukan Peraturan Mesyuarat 77(d) yang membenarkannya memeriksa “(d) apa-apa perkara lain yang difikirkan oleh Jawatankuasa itu patut diperiksa, atau apa-apa perkara yang diserahkan oleh Majlis kepada Jawatankuasa itu.”
"Seorang pembunuh yang telah disabitkan bersalah membunuh Altantuya Shaariibuu, Azilah Hadri, telah membuat kenyataan bersumpah semasa menunggu hukuman mati pada tahun 2019, mengatakan arahan untuk membunuh Altantuya datang daripada bekas Perdana Menteri Najib Razak dan juga sekutu rapatnya, Abdul Razak Baginda.
"Dalam pengakuan buat kali pertama, Azilah mengatakan dia dan seorang lagi pembunuh yang disabitkan bersalah, Sirul Azhar Umar, telah membunuh warga Mongolia tersebut sebagai sebahagian daripada arahan “tembak untuk bunuh” yang diterimanya sebagai seorang ahli pasukan elit Unit Tindak Khas (UTK) Polis.
Sirul juga telah mendakwa yang dia membunuh Altantuya pada tahun 2006 atas arahan kerajaan Malaysia atas alasan mengatakan Altantuya adalah “perisik Rusia”," kata Kit Siang dalam satu kenyataan.
Pengakuan yang bertentangan dengan keterangan di mahkamah itu, katanya, boleh membawa kepada penyiasatan PAC.
Sirul dan Azilah telah disabitkan bersalah menembak dan meletupkan Altantuya dengan bahan letupan gred tentera pada bulan Oktober 2006.
Mahkamah Persekutuan telah membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan mereka berdua dan meneruskan hukuman gantung sampai mati yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi sebelumnya.
Sirul yang bebas semasa proses rayuan telah melarikan diri ke Australia dan ditahan di Pusat Imigresen Villawood di Sydney, Australia.
"Dilaporkan Sirul bersedia untuk mendedahkan segalanya mengenai pembunuhan Altantuya sekiranya dia diberikan pengampunan penuh untuk kembali ke Malaysia.
"Walaupun Mahkamah Persekutuan telah menolak permohonan Azilah untuk menyemak semula sabitan dan hukuman matinya, isu kepentingan awam memerlukan siasatan lanjut ke atas motif pembunuhan Altantuya," kata Kit Siang lagi.
Tegas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, PAC perlu mempertimbangkan untuk menyiasat kedua-dua kes berkenaan, termasuklah menyoal siasat Azilah yang sedang menanti hukuman mati dan menghantar ahli PAC ke Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney untuk menyoal siasat Sirul
Juga mempertimbangkan rayuan Parlimen kepada Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong untuk mengetepikan hukuman mati ke atas kedua-dua pembunuh tersabit dalam usaha mengenal pasti motif pembunuhan Altantuya.
Comments