Siasat secara telus kes tembak mati suspek, mati dalam tahanan - PM
- Suara Keadilan
- 32 minutes ago
- 2 min read

Kabinet menyatakan kebimbangan terhadap aduan membabitkan insiden kematian dalam tahanan serta kes tembakan melibatkan suspek penjenayah dengan mahu siasatan menyeluruh dilakukan pihak berkuasa, demikian menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata Jemaah Menteri menyambut baik ketegasan pihak polis dalam mengambil tindakan terhadap penjenayah, namun setiap aduan salah laku atau pelanggaran mana-mana prosedur perlu disiasat.
Serentak itu, beliau mengarahkan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menyediakan laporan terperinci dan telus serta kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam masa terdekat berkait kes aduan diterima.
"Kita tidak melindungi penjenayah, kita juga tidak melindungi tindakan termasuk oleh anggota polis yang (bertindak) bertentangan dengan proses negara hukum.
"Supaya beberapa aduan mengenai perkara yang bercanggah dengan proses dan prosedur yang teratur, ia harus disiasat secara telus dan terbuka," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Cyberjaya 10, Cyberjaya hari ini.
Perdana Menteri menegaskan pihaknya tidak campur tangan dalam urusan mengendalikan kes kematian dalam tahanan ataupun tembakan membabitkan suspek jenayah tetapi melahirkan kegusaran beberapa peraturan tidak dipatuhi.
Rabu lepas, laporan media tempatan menyebut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M Kumar berkata pihaknya menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat dakwaan ahli keluarga tiga suspek lelaki yang ditembak mati di Durian Tunggal, Melaka pada 24 November lepas, yang tidak berpuas hati dengan tindakan polis.
Pada masa sama, Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar memaklumkan tiga penjenayah berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka melibas parang terhadap seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.
Kejadian pada pukul 4.30 pagi itu menyebabkan anggota polis berpangkat koperal, berusia awal 30-an cedera parah pada lengan kiri.
Polis mengesan esemua suspek daripada Geng Durian Tunggal dalam perjalanan untuk menyamun sebuah premis dan aktif melakukan jenayah sejak 2024, membabitkan 20 kes di Melaka serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor dengan kerugian RM1.35 juta.
Sementara itu, media melaporkan Menteri Digital Gobind Singh Deo menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan dakwaan berhubung seorang pemandu lori yang meninggal dunia dalam tahanan polis tetapi tidak disiasat selepas lebih sembilan bulan.





