Campur tangan politik ke atas pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) merupakan sesuatu yang dan tidak boleh diterima dan menjejaskan imej negara.
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai badan yang diyakini berkecuali dan berwibawa dakwaan seperti mana yang ditimbulkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador kelmarin, amat mengejutkan dan perlu ditangani segera.
"Pendedahan tersebut mendukacitakan serta telah mencemarkan nama baik PDRM.
"Sebagai sebuah badan utama negara dalam mengangkat kedaulatan undang-undang, PDRM seharusnya bersifat bebas daripada campur tangan politik.
"Campur tangan yang berlaku ini secara tidak langsung membuktikan pemerintah yang tiada keabsahan ini menggunakan pelbagai cara dan helah untuk berpaut pada kuasa.
"Langkah ini juga telah merobek keyakinan rakyat sehingga boleh menimbulkan kesangsian terhadap kredibiliti PDRM saat ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu mahu satu siasatan bebas dilakukan bagi mengembalikan maruah dan integriti PDRM.
"Saya menggesa siasatan menyeluruh dan lengkap dilakukan bagi menyiasat pendedahan ini, dan pemerintah mesti menjawab segala dakwaan sesegera mungkin," katanya.
Kelmarin, Hamid mendakwa berlaku campur tangan politik, khususnya Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin dalam PDRM yang tidak sepatutnya berlaku serta menjejaskan badan penguatkuasa berkenaan.
Comments