Siasat majlis berkaitan kerajaan hidang minuman beralkohol - AMK
- Suara Keadilan

- Oct 6
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat menggesa agar satu siasatan dalaman dilakukan berhubung majlis makan malam yang dikaitkan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kelmarin, yang dihadiri Menteri Datuk Seri Tiong King Sing dan didakwa telah menghidangkan minuman beralkohol.
Naib Ketua AMK, Nabil Halimi berkata, siasatan itu perlu dilakukan bagi menunjukkan komitmen dan ketegasan kerajaan dalam menegakkan nilai, adab serta tatakelola baik yang menjadi teras kepada pembinaan Malaysia MADANI.
''Sama ada majlis tersebut dianjurkan oleh pihak swasta mahupun kerajaan, mana-mana acara yang melibatkan kehadiran rasmi Menteri, keterlibatan aktif kementerian, atau agensi seperti Tourism Malaysia, tidak wajar membenarkan penghidangan minuman beralkohol secara terbuka.
''Ia mencerminkan kegagalan memahami sensitiviti budaya, agama dan nilai masyarakat Malaysia MADANI yang berteraskan prinsip adab dan hormat,'' katanya menerusi satu kenyataan.

Nabil berkata, sehingga kini, tidak ada sebarang permohonan maaf yang dikemukakan secara rasmi oleh Menteri Pelancongan Mahupun pihak kementerian.
Sebaliknya beliau berkata, kenyataan yang diberikan Menteri berkenaan semalam lebih bersifat defensif dan meletakkan kesalahan kepada pihak lain.
Oleh itu, katanya satu siasatan rasmi perlu dilakukan bagi menjawab isu berkenaan daripada terus dijadikan bahan politik.
''Itu bukanlah contoh kepimpinan yang bertanggungjawab apatah lagi dari seorang Menteri yang diberi amanah untuk mewakili Kerajaan MADANI.
''Ianya turut memperlihatkan kegagalan pihak kementerian dalam pengawalan dan pengurusan acara rasmi
"Saya menggesa agar satu siasatan dalaman harus dijalankan ke atas majlis tersebut. Hal ini demi menunjukkan komitmen dan ketegasan kerajaan dalam menegakkan nilai, adab serta tatakelola baik yang menjadi teras kepada pembinaan Malaysia MADANI,'' katanya lagi.
Dalam kenyataannya kelmarin, Tiong King Sing menafikan dakwaan arak dihidangkan dalam majlis rasmi kerajaan melibatkan MOTAC, sebaliknya menjelaskan majlis itu adalah inisiatif pihak industri dan sektor swasta.
Beliau menjelaskan Tourism Malaysia hanya bertanggungjawab menganjurkan acara Global Travel Meet selama dua setengah hari dan hanya meminjam platform majlis makan malam tersebut bagi tujuan pelancaran Kalendar Acara Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).









Comments