Siaran Piala Dunia percuma Kerajaan MADANI bawa inspirasi, semangat kebersamaan
- Akmal Manaf

- 12 hours ago
- 2 min read

Keputusan Kerajaan MADANI menyiarkan kejohanan Piala Dunia FIFA 2026 secara percuma membuktikan Kerajaan MADANI sememangnya memahami kepentingan pembangunan sosial, belia dan sukan sebagai medium yang mampu menyatukan rakyat serta memperkukuhkan kesejahteraan masyarakat.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kedah, Mohammad Fitri Ismail berkata, langkah berkenaan turut mencerminkan kepekaan Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kehendak dan aspirasi rakyat khususnya golongan muda yang meminati sukan bola sepak.
"Apabila kerajaan mengambil langkah untuk memastikan acara bertaraf dunia dapat diakses oleh semua lapisan rakyat, ia mencerminkan sebuah pentadbiran yang mendengar denyut nadi rakyat dan menghargai kepentingan akses yang saksama kepada ilmu, hiburan serta inspirasi.
"Justeru, usaha tersebut wajar diberikan penghargaan kerana ia bukan sekadar membawa siaran Piala Dunia ke kaca televisyen rakyat, tetapi turut membawa kegembiraan, inspirasi dan semangat kebersamaan kepada jutaan rakyat Malaysia.

"Inilah manifestasi sebuah kerajaan yang peka, inklusif dan sentiasa berusaha memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai oleh seluruh rakyat," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai keputusan Kerajaan MADANI menyediakan siaran percuma Piala Dunia FIFA 2026 kepada rakyat menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Unifi TV.
Selain itu, Mohammad Fitri menyifatkan keputusan menyiarkan Piala Dunia secara percuma juga merupakan satu usaha yang amat bermakna kerana membolehkan rakyat menikmati kejohanan sukan terbesar dunia tanpa kos tambahan, khususnya ketika rakyat berdepan cabaran kos sara hidup yang terus menjadi perhatian ramai.
Beliau yang juga Ketua AMK Merbok berkata, bagi generasi terdahulu, menonton Piala Dunia sering kali memerlukan langganan platform berbayar, namun situasi hari ini jauh berbeza di bawah Kerajaan MADANI.
"Golongan muda di bandar dan luar bandar kini berpeluang menikmati siaran langsung aksi pemain-pemain terbaik dunia bersama keluarga serta rakan-rakan tanpa perlu melanggan platform berbayar.
"Ini mewujudkan pengalaman yang lebih inklusif dan menyatukan rakyat melalui sukan yang menjadi minat bersama.
"Lebih penting, siaran percuma ini bukan sekadar memberi hiburan, tetapi membuka ruang kepada generasi muda untuk belajar nilai-nilai positif yang dipamerkan di pentas antarabangsa seperti disiplin, kerja berpasukan, daya saing, semangat juang dan profesionalisme.
"Ramai anak muda yang bercita-cita menjadi pemain bola sepak atau atlet profesional berpeluang menjadikan kejohanan ini sebagai sumber inspirasi dan pembelajaran," ujarnya lagi.
Rakyat Malaysia bakal menikmati siaran penuh Piala Dunia 2026 apabila kesemua 104 perlawanan kejohanan itu disiarkan menerusi RTM dan Unifi TV selaku penyiar rasmi temasya bola sepak terbesar dunia tersebut.
Kejohanan yang berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico bermula 12 Jun itu boleh ditonton secara percuma menerusi platform penstriman RTMKlik sama ada melalui aplikasi mudah alih mahupun laman sesawang rasmi RTM.




Comments