Siapa tekan demokrasi: Kerajaan Madani atau PN?
- Redzuan Shamsudin
- Mar 10, 2024
- 2 min read

Kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin kononnya Kerajaan Madani dikepalai Datuk Seri Anwar Ibrahim menekan demokrasi ditempelak banyak pihak.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, Muhyiddin seharusnya mencermin dirinya sendiri sewaktu 18 bulan beliau mengepalai kerajaan PN pada 2020 - 2021 lalu.
Katanya, kerajaan PN bukan sahaja menekan demokrasi dengan mendaruratkan negara mulai Januari 2021 tetapi juga menghalang parlimen daripada bersidang yang terang terangan suatu tindakan menekan demokrasi.
"Izinkan saya menyatakan satu fakta apa yang sesungguhnya berlaku semasa pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin.
"Pada satu hari saya berlepas selepas Subuh dari Johor untuk ke sidang Parlimen di Kuala Lumpur. Sesampainya saya di Bulatan Jalan Parlimen, polis FRU lengkap dengan senapang dan perisai menghalang saya masuk ke Parlimen. Saya dapati kemudian semua Ahli Parlimen juga disekat masuk, termasuklah Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Port Dickson dan Dr Mahathir Mohamad, ahli Parlimen Langkawi yang merupakan bekas Perdana Menteri ketujuh.
"Kami diberitahu Parlimen telah digantung dan Perdana Menteri ke-8, Muhyiddin Yassin mengisytiharkan Darurat di seluruh Malaysia.
"Pada saya selaku Ahli Parlimen Pasir Gudang yang telah dipilih oleh rakyat, bahawa tindakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika itu adalah tidak demokratik dan menekan kebebasan Parlimen," kata Hassan dalam satu kenyataan.
Beliau dalam kenyataan itu mengimbau semula peristiwa pada 2 Ogos 2021 apabila Ahli ahli Parlimen pembangkang yang dihalang menghadiri sidang Dewan Rakyat berkumpul di Dataran Merdeka dan melakukan tunjuk perasaan ke atas perintah penutupan bangunan Parlimen pada waktu Darurat berikutan pandemik Covid 19.
Hassan pada waktu itu, katanya, telah memfailkan tindakan Semakan Kehakiman ke atas keputusan Kerajaan PN mengisytiharkan Darurat dan menggantung Parlimen.
"Saya memohon supaya Mahkamah Tinggi Johor Bahru mengisytiharkan Proklamasi Darurat itu tidak sah.
"Permohonan saya itu telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru. Saya yang dilatih sebagai seorang peguam tidak mudah menyerah kalah. Saya ingin membuktikan tindakan Muhyiddin yang anti-demokrasi itu adalah salah.
"Kalah di Mahkamah Tinggi Johor Bahru, kemudian saya merayu di Mahkamah Rayuan Malaysia di Putrajaya. Sekali lagi saya kalah.
"Selepas kalah di Mahkamah Rayuan, saya teruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan. Kes tersebut kini masih berada di Mahkamah Persekutuan. Belum selesai," katanya.
Oleh itu, Hassan menempelak Muhyiddin apabila berdegar degar di konvensyen Perikatan Nasional semalam menyatakan Kerajaan Madani menekan demokrasi di Malaysia.
"Jadi apabila Di Konvensyen PN bekas Perdana Menteri, Muhyiddin menuduh dan mendakwa Kerajaan Madani pimpinan Anwar Ibrahim yang mentadbir sekarang sebagai menekan kebebasan dan tidak demokratik, maka saya fikir ada moleknya Muhyiddin melihat rekod lampaunya sendiri," kata Hassan lagi.
Muhyiddin dalam ucapan perasmian Konvensyen Wakil-wakil Rakyat PN di Kuala Lumpur semalam berkata Kerajaan Perpaduan ketika ini beramal dengan sistem autokrasi dan petanda itu terjelma seawal mereka membentuk kerajaan.
コメント