Shell yakin hala tuju Kerajaan Madani, tambah pelaburan RM9 bilion
- Suara Keadilan
- 7 minutes ago
- 1 min read

Gergasi petroleum dunia, Shell yakin dengan perubahan yang dibawa oleh pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas tadbir urus negara dan masa depan Malaysia.
Keyakinan itu, kata Anwar diutarakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Global Shell, Wael Sawan yang mengunjungi PM bersama delegasi selepas perasmian Simposium Sasana 2025 dan melancarkan Digital Asset Innovation Hub di Kuala Lumpur pagi tadi.
"Saya manfaatkan kesempatan ini untuk berkongsi pendekatan strategik Kerajaan MADANI dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang stabil, mampan dan berdaya tahan bukan hanya untuk hari ini, tetapi demi generasi mendatang," kata PM dalam muat naik terbaharu di Facebook.
Bagi Anwar, Shell bukanlah sekadar nama besar dalam dunia tenaga tetapi telah menjadi rakan pelaburan utama negara dan sebahagian daripada perjalanan ekonomi Malaysia sejak sebelum merdeka.
Keyakinan pelabur yang telah berurusan lebih enam dekad lalu ke atas pentadbiran negara, katanya, menyebabkan mereka berminat untuk menambah pelaburan.
"Saudara Sawan menyuarakan keyakinan terhadap arah tuju negara.
"Justeru, beliau memaklumkan bahawa Shell akan menambah pelaburan melebihi RM9 bilion dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, yang bakal mencipta peluang-peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
"Pelaburan ini adalah manifestasi keyakinan pelabur antarabangsa terhadap dasar ekonomi kita yang teguh dan kepimpinan yang jelas," katanya.
PM yakin Malaysia akan mampu terus melakar masa depan yang makmur dan negara kembali menjadi pemain utama ekonomi di Asia sedikit masa lagi.
Comments