Shamsul guna proses mahkamah buktikan tidak bersalah
- Suara Keadilan

- 6 hours ago
- 2 min read

Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menegaskan beliau akan membuktikan dirinya tidak bersalah melalui proses mahkamah selepas mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan rasuah di mahkamah.
Beliau berkata, pihaknya akan mematuhi segala arahan mahkamah ketika berusaha membersihkan namanya susulan dakwaan menerima suapan berkaitan lesen penerokaan perlombongan mineral di Sabah bulan lalu.
"Saya akan buktikan bahawa saya tidak bersalah melalui proses undang-undang yang sewajarnya," kata mantan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri itu kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
Shamsul Iskandar berkata sejak awal lagi, beliau mengambil pendekatan proaktif dengan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) khususnya untuk melengkapkan siasatan dan membersihkan namanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan peguam yang mewakilinya serta rakan-rakan dan ahli keluarga yang memberikan sokongan sepanjang tempoh ini.
Peguamnya, Datuk Amer Hamzah Arshad berkata bahawa anak guamnya akan terus memberikan kerjasama penuh terhadap proses siasatan.
"Ini dapat dilihat melalui tindakan segera anak guam saya yang membuat laporan polis sebaik sahaja berita mengenai dakwaan itu tersebar," katanya.
Seorang lagi peguam, Yusmadi Yusoff pula menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai kes tersebut kerana masih di peringkat awal.
"Kami telah melihat banyak komen dan hantaran di media sosial yang agak keterlaluan, malah ada yang melampaui batas," katanya.
Terdahulu Shamsul Iskandar, 51, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas empat pertuduhan rasuah lebih RM170,000 sejak tiga tahun lalu sebaik kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM150,000 dengan dua penjamin warga Malaysia selain diarah melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat setiap bulan, pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan tidak mengganggu saksi.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Januari depan.









Comments