Setiausaha Agung KEADILAN tinjau persiapan jentera di DUN Melalap
- Suara Keadilan
- 21 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Shaiful Annuar S
Jentera pilihanraya KEADILAN terus bersiap siaga menjelang penamaan calon pada 15 Nov ini.
Sehubungan itu, kelmarin, Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Dr Fuziah Salleh mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan Calon Pakatan Harapan Rakyat di DUN Melalap bagi meninjau tahap persediaan dan kesiapsiagaan jentera menuju hari penamaan calon pada Sabtu ini.
Dalam sesi taklimat yang dikendalikan oleh Datuk Jamawi Jaafar, Dr Fuziah diberi penerangan mengenai strategi gerak kerja, pembahagian tugas serta persiapan logistik jentera bagi memastikan kempen berjalan lancar.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Ketua Cabang KEADILAN Melalap, Herbert Roger London; wakil Jabatan Pilihan Raya Pusat (JPRP), Nurin Aina; Shaiful Anuar Sulaiman (PPL-JPRP) serta barisan pimpinan angkat DUN Melalap dari negeri Johor.
Dr Fuziah turut menzahirkan penghargaan kepada semua sukarelawan dan petugas parti yang gigih bekerja dalam suasana penuh semangat perjuangan.
Lawatan yang berlangsung dalam suasana sederhana namun meriah itu turut diserikan dengan jamuan tengah hari gotong-royong yang disediakan oleh para sukarelawan.
Antara hidangan yang menarik perhatian ialah masakan lemak ikan baung tempatan, yang menjadi sajian istimewa dan simbol keakraban antara kepimpinan pusat dengan jentera di lapangan.
Datuk Dr Fuziah yang juga Timbalan Menteri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) kemudiannya berangkat pulang ke Kota Kinabalu selepas menzahirkan keyakinan bahawa jentera KEADILAN di Melalap berada dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi cabaran pilihan raya yang bakal tiba.





