Persoalan yang berlegar dalam pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) adalah kualiti pembelajaran para pelajar dari kalangan keluarga B40 yang telah menunggu sehingga setahun untuk menerima laptop sumbangan kerajaan.
Bagi Pengarah Komunikasi Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor, Firdaus Zainal, tidakkah para pelajar akan terganggu pembelajaran mereka sepanjang tahun ini tanpa mempunyai peranti sesuai untuk mengikuti pembelajaran?
Pertanyaan itu, katanya, berlegar dalam kalangan netizen selepas Menteri Pendidikan, Dr Radzi Jidin berkata bahawa 12,887 laptop telah diagihkan, manakala 40,290 unit akan diberi pada 12 Jun dan baki 96,823 unit diserahkan pada hujung September ini.
"Dari semester lama sehingga ke semester baharu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) masih belum menunaikan janji. Pelajar menunggu akan mendapat laptop pada bulan September di mana semester 2021 telah memasuki suku ketiga.
"Bayangkanlah, perkembangan pendidikan pelajar yang terjejas ketiadaan peranti ini kerana menunggu terlalu lama hampir habis semester, itupun laptop yang diterima hanya dipinjamkan.
"Mujurlah mantan menteri KPM, Ahli Parlimen dan ADUN pembangkang dengan inisiatif sendiri membelikan peranti kepada para pelajar di kawasan mereka secara percuma meskipun sedia maklum peruntukan tahunan telah dikurangkan oleh kerajaan gagal ini," katanya dalam satu kenyataan.
Sedangkan menurut Firdaus lagi, PdPR telah dilaksanakan sejak tahun lalu, apakah pelajar B40 akan mengalami keciciran pembelajaran sepanjang tempoh berkenaan?
Malah, soalan lain yang tidak berjawab adakah dengan mempunyai laptop pelajar mampu belajar dengan baik kerana masalah akses internet dan rangkaian yang sering terganggu masih juga tidak diselesaikan oleh kerajaan.
Kelmarin, dalam siarang langsung media, Dr Radzi Jidin menegaskan 12,887 dari 150,000 unit laptop yang dijanjikan telah diberikan kepada 95 dari 500 buah sekolah
Manakala bakinya akan diagihkan pada pertengahan Jun dan hujung September. Setahun selepas peruntukan laptop pinjaman kerajaan diumumkan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz dalam Belanjawan 2021.
Comments