Sejak Pas menganggotai Kerajaan Persekutuan Perikatan Nasional (PN) banyak isu-isu yang diperjuangkan mereka ketika menjadi pembangkang dahulu 'hilang' di angin lalu.
Bukan sahaja Rang Undang-undang 355 (RUU 355), kes kematian anggota bomba Mohamad Adib malah isu judi yang sering dimomokkan kepada Umno tidak lagi dibangkitkan oleh ustaz Pas mahu pun Dewan Pemuda parti itu yang lantang mengkritik suatu ketika dahulu.
Terbaharu, isu jutawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih popular dipanggil Nur Sajat, 36 yang mendakwa dia tidak mahu lagi menganut agama Islam selain mengakui tertekan dengan situasi yang sedang dilaluinya juga tidak mendapat reaksi ulama Pas.
Sedangkan ketika Pakatan Harapan memerintah, menteri agama dikecam keras parti itu apabila individu sama menunaikan umrah di Mekah dengan mengenakan busana muslimah.
Bagi Ahli Parimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, setahun pemerintahan PN jelas menyerlahkan sikap hipokrit Pas dalam memperjuangkan agama Islam selama ini.
Katanya, isu-isu Islam tidak akan diselesaikan Pas memandangkan tiada dalam kamus parti itu memartabatkan Islam selain hanya berslogan kosong.
"Pas hanya pandai beretorik dengan slogan Islam yang kononnya Pas adalah parti Islam. Adakah mereka (Pas) memperjuangkan Islam?"
"Jika betul memperjuangkan Islam, tidak timbul soal isu air di Kelantan dan soal kes rasuah (dalam kerajaan PN) yang berterusan," katanya.
Tegas Abdullah, sepertimana isu RUU355, banyak episod-episod lain yang menunjukkan Pas tiada kesungguhan memperjuangkan Islam, malah mereka lebih senang memecahbelahkan umat dan membuat hukum mengikut selera mereka sahaja.
Comments