Oleh: Helmi Mohd Foad
Pendidikan yang mengangkat martabat kemanusiaan merupakan antara tujuh teras yang diterapkan dalam Kementerian Pendidikan sepanjang tempoh setahun lalu, kata menterinya Fadhlina Sidek.
Beliau berkata kementerian turut menekankan kepada soal akses pembelajaran, menaik taraf sekolah daif, isu kemiskinan multidimensional dan pendidikan digital.
"Mengenai karamah insaniah (martabat kemanusiaan), saya fikir ini akan menjadi antara perkara yang kita angkat dalam konteks mencipta dan memberikan tumpuan kepada keunggulan peribadi dan potensi anak-anak.
"Begitu juga dengan teras lain, (pengurangan) beban guru juga akan kita teruskan...kita harap kita dapat terus memfokuskan kepada pencapaian-pencapaian guru dalam konteks memastikan mutu pendidikan terus diangkat," katanya dalam temu bual Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI menerusi slot Selamat Pagi Malaysia TV1 hari ini.
Fahdlina berkata sepanjang setahun di kementerian, pasukannya membawa misi pendidikan manusiawi iaitu berusaha memastikan tidak ada anak-anak yang tercicir daripada pelajaran.
"Penting untuk kita lihat beberapa aspek dalam pendidikan manusiawi, penubuhan-penubuhan sekolah yang dikhususkan bagi memastikan tiada ruang untuk mengatakan pendidikan (anak) mereka dinafikan," katanya.
Jelasnya langkah itu termasuk menerusi inisiatif Sekolah Dalam Hospital bagi memberikan peluang pelajar uzur menyertai sesi pembelajaran serta pelajar Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney juga mendapat akses pendidikan meskipun berada dalam pusat korektif dan menjalani hukuman.
Mengenai program membaik pulih tandas di sekolah, Fadhlina menjelaskan projek di bawah Kerajaan Perpaduan itu dapat mendidik sikap bertanggungjawab dalam kalangan pelajar terhadap kemudahan yang disediakan selain meningkatkan amalan kebersihan dan mengatasi masalah kemiskinan haid.
Beliau berkata projek berkenaan akan diperluaskan kepada sekolah bantuan kerajaan secara berfasa pada tahun depan selepas kerja membaik pulih di 8,000 sekolah kementerian selesai dilaksanakan.
Comments