
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa merakamkan penghargaan atas kehadiran pengamal perubatan pada sesi townhall di Kementerian Kesihatan (KKM) petang semalam.
Pejabat Menteri Kesihatan dalam satu kenyataan ringkas berkata, sesi tersebut yang dihadiri kira-kira 350 pengamal perubatan telah membincangkan beberapa isu terutama penambahbaikan fasiliti kesihatan awam, kekurangan doktor di Jabatan Kecemasan dan penambahbaikan laluan kerjaya pegawai perubatan.
"Sesi townhall yang dianjurkan bersama Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) ini bertujuan bagi mendapatkan pandangan, maklum balas dan cadangan daripada anggota perubatan berhubung pelbagai perkara.
"Dr Zaliha sangat menghargai dan menghormati pandangan, maklum balas dan cadangan yang diberi sepanjang sesi townhall yang diadakan selama lebih dua jam itu tadi," kata kenyataan tersebut.
Selain Zaliha sesi itu juga dihadiri timbalannya, Lukanisman Awang Sauni serta pegawai dari kementerian.
Minggu lalu, Zaliha menggesa mana-mana petugas kesihatan agar tidak atau cuba terlibat dalam mogok mengejut dan bertemu dengannya bagi membincangkan dan menyelesaikan sebarang isu berbangkit.
Sehubungan itu, katanya, jalan terbaik adalah berbincang untuk sama-sama mencari jalan penyelesaian.
"Dengan semua cadangan dan maklum balas yang diperoleh, beliau (Dr. Zaliha) akan berusaha menangani isu-isu berkenaan sama ada dari segi polisi atau teknikal yang melibatkan Kementerian Kesihatan (KKM).
"Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengawai perubatan yang hadir dan memberi komitmen, tiada doktor yang akan dikenakan tindakan tatatertib kerana menghadiri sesi pada hari ini," kata kenyataan itu lagi.