top of page

Seruan Tun M minta PM bubar parlimen kebudak budakkan - David Cheong

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 13
  • 2 min read

ree

Oleh: Akmal manaf


Seruan Tun Mahathir Mohamad agar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membubarkan parlimen dan mengadakan pilihanraya mengejut kerana pembangkang tidak akan berjaya sekiranya mereka mengusul undi tidak percaya di Parlimen, adalah cadangan kebudak budakkan.


Menurut Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, David Cheong Kian Young (gambar), tidak ada faedahnya parlimen dibubarkan pada pertengahan penggal hanya kerana mahu menguji sama ada rakyat menyokong PM atau tidak, sebagaimana Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan akan menyokong PM seandainya undi tidak percaya diusulkan.


Bagi David Cheong, rakyat telah pun membuat keputusan dalam sekali dalam lima tahun, dan hal itu hendaklah dihormati oleh Tun Mahathir dan pembangkang. Tidak perlu menyusahkan rakyat untuk turun membuang undi sedangkan tempoh mandat masih berbaki lebih dua tahun.


''Biarlah kerajaan yang telah dibentuk ini menjalankan tanggungjawabnya sehingga tamat penggal, melainkan berlaku pelanggaran serius terhadap undang-undang atau kehilangan sokongan majoriti yang sah, dan setakat ini ia tidak berlaku.


''Cabaran Tun kepada PM Anwar adalah tidak berasas malah kelihatan kebudak-budakan. Sebagai seorang yang berpengalaman, Tun sepatutnya lebih tahu bahawa desakan sebegitu hanya boleh dibuat berdasarkan keperluan mendesak atau kehilangan keabsahan majoriti, bukannya semata-mata untuk memenuhi agenda peribadi.


''Yang nyata tindakan Tun lebih kepada usaha mencetuskan ketidakstabilan politik,'' kata beliau dalam satu kenyataan.


David juga menekankan bahawa Tun sepatutnya lebih faham tentang kerosakan dan kesan buruk akibat pembubaran Parlimen secara tergesa-gesa.


Tindakan itu, katanya, akan menghancurkan kestabilan politik dan ekonomi negara, membazirkan masa serta wang rakyat ketika proses pilihanraya dilaksanakan, sekali gus mencetuskan ketidaktentuan yang menggugat keyakinan pelabur yang pastinya amat merugikan negara.


''Kenyataan Tun yang mendakwa tiada Ahli Parlimen yang akan menyokong undi tidak percaya di Parlimen memang ada benarnya, namun bukan seperti yang didakwa.


''Mereka bukan takut kepada PM Anwar, sebaliknya mereka yakin perbuatan itu adalah sia-sia. Sebab itulah tiada seorang pun Ahli Parlimen yang bangkit mengusulkan undi tidak percaya dalam Parlimen ketika PM Anwar memberi peluang mereka berbuat demikian,'' katanya.


Dalam kenyataan sama, David menyifatkan bahawa 'masa Tun' telah lama berlalu dan mantan Perdana Menteri ke-4 dan ke-7 itu sepatutnya berehat dan memberi ruang kepada pemimpin masa kini untuk terus memimpin dan meneraju negara ke arah kejayaan.


Katanya, rakyat sudah muak dengan permainan politik yang tidak berkesudahan.


Tambah David, pembangkang seharusnya mencontohi pendekatan Kerajaan MADANI, yang sejak penubuhannya terus teguh berkhidmat.


''Sejak tertubuhnya kerajaan, digoncang tidak goyah, digegar tidak melatah, kami fokus berjuang dan berkhidmat demi kesejahteraan rakyat.


''Bila tiba masanya nanti, barulah kami berpolitik, berkempen dan berusaha memenangi hati pengundi untuk memenangi lagi di pilihanraya akan datang," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page