Oleh: Abdullah Zaid
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sarawak, Roland Engan hari ini menyahut seruan Perdana Menteri (PM) mempertahankan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan melindungi hak keistimewaan Melayu dan bumiputera.
Hal itu, katanya, peruntukan yang ada itu tidak perlu diperhalusi memandangkan jaminan kedudukan istimewa bumiputera tidak perlu dipertikaikan.
"Saya menyokong agar Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan tak perlu dibincang.
"Apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tidak perlu dipertikaikan dan dibincangkan," katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim mencadangkan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) yang bakal diadakan perlu mengupas kedudukan istimewa orang Melayu dan peribumi Sabah serta Sarawak secara ilmiah dan berfakta.
Pemimpin KEADILAN itu dalam satu kenyataan berkata, prestasi ekonomi bumiputera masih jauh tertinggal berbanding golongan bukan bumiputera di negara ini.
Malah, Hassan mempersoalkan jika dasar afirmatif itu sebenarnya benar-benar menolong ekonomi bumiputera atau sebaliknya telah dirampas dan dimanipulasi segelintir elit bumiputera.
Susulan, itu Roland berkata, sekiranya mana-mana ingin membela nasib bumiputera maka Deklarasi Hak Orang Asal (UNDRIP) perlu diangkat bagi membela nasib Orang Asal.
"Jika mana-mana pihak ingin bincang mengenai hak bumiputera, lebih baik UNDRIP dibincang dan akhirnya dimaktubkan dalam Perlembagaan atau dijadikan Akta atau Enakmen/Ordinan.
"Seterusnya, polisi kerajaan yang inklusif untuk semua kaum, agama, budaya dan bahasa perlu diperkembangkan di bawah konsep Malaysia MADANI," ujarnya lagi.
Comments