
Serangan bertali arus ke atas institusi kehakiman negara sewajarnya tidak berlaku atau dilakukan oleh pemimpin dan penyokong parti memerintah Umno - BN.
Bagi Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) siri serangan yang menjatuhkan maruah hakim hakim Mahkamah Tinggi, Rayuan dan Persekutuan sejak kebelakangan ini amat mendukacitakan.
"Serangan-serangan itu semakin menjadi-jadi terutama apabila proses perbicaraan rayuan Najib Razak dalam kes SRC International hampir ke penghujungnya.
"Malah serangan khususnya dari kalangan penyokong Umno dan ‘cybertroopers’ mereka semakin bersifat ugutan termasuk ugutan bunuh terhadap Ketua Hakim Negara.
"Ugutan mencedera atau membunuh adalah kesalahan jenayah di sisi undang-undang termasuk di bawah Kanun Keseksaan.
"Oleh itu, PH menyokong kenyataan Ketua Polis Negara bahawa mereka yang mengugut untuk mencedera atau membunuh Ketua Hakim Negara akan disiasat dan dibawa ke muka pengadilan," kata pemimpin tertinggi PH dalam kenyataan petang ini.
Menurut Majlis Presiden PH lagi, kebebasan institusi kehakiman wajib dipertahan sepanjang masa, dan institusi tersebut perlu kekal konsisten sebagai salah satu tunggak utama dan tiang seri negara.
Justeru, Majlis Presiden memberi peringatan kepada parti pemerintah Umno - BN agar tidak lagi mencerca hakim hakim yang boleh membawa hilang kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman negara.
"Kami turut memberi peringatan tegas, pimpinan parti-parti politik terutama Umno perlu menghentikan serangan-serangan ke atas institusi kehakiman dan membenarkan proses perbicaraan berjalan hingga ke penghujungnya," ujar mereka.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook dan Presiden UPKO, Datuk Seri Madius Tangau.