Serangan anak Rafizi: Segera berkas, hadapkan penyerang ke mahkamah - Fahmi
- Suara Keadilan
- Aug 13
- 1 min read

Serangan ke atas anak mantan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli di kawasan Putrajaya hari ini menimbulkan kejutan kepada rakyat Malaysia.
Bagi Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, serangan ke atas kanak kanak berusia 12 tahun adalah sesuatu yang tidak bertamadun dan perlu ditangani segera.
"Saya amat sedih, terkejut dan marah menerima perkhabaran ini. Sebagai seorang bapa dengan anak-anak yang hampir sama usia anak sdr @rafiziramli, saya juga amat risau tentang keselamatan keluarga.
"Saya mendoakan Ben (anak Rafizi) cepat sembuh, semoga Allah beri keselamatan kepada sdr Rafizi sekeluarga, dan semoga penyerang-penyerang ini segera diberkas dan dihadapkan ke muka pengadilan," katanya dalam aplikasi X.
Rafizi hari ini mendedahkan anaknya dicucuk dengan jarum suntikan dalam serangan di parkir sebuah pusat membeli belah di Putrajaya pada tengah hari tadi.
"Sekitar jam 1.45 petang ini, semasa anak dan isteri saya memasuki kereta untuk meninggalkan sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, secara tiba-tiba seorang lelaki mengheret anak saya dan mencucuknya dengan jarum suntikan," katanya dalam kenyataan.
Ahli Parlimen Pandan itu juga berkata semakan menunjukkan dua orang lelaki yang menaiki sebuah motosikal itu telah mengekori kereta isterinya dan percaya serangan tersebut telah dirancang lebih awal.
Sementara itu, Rafizi berkata anaknya dibawa ke Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) Universiti Putra Malaysia untuk rawatan.
Katanya, polis juga berada di tempat kejadian sejurus insiden tersebut.
Comments