
Peperangan di antara Rusia dan Ukraine tidak menjejaskan bekalan alat ganti dan senggaraan pesawat tempur Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) yang dibelikan dari Rusia, terutama jenis Sukhoi.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari (PH - Alor Gajah) berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN - Tanah Merah).
Adly menolak sangkaan Ikmal bahawa TUDM terpaksa mengorbankan sebahagian pesawatnya untuk tujuan alat gantinya dipasang kepada pesawat lain.
"Sebenarnya kita tidak melakukan itu. Penyelenggaraan Sukhoi ini kita melantik syarikat tempatan untuk memastikan kita mempunyai peralatan dan alat ganti cukup. Kalau ikut peralatan yang ada pada kita, kita boleh selenggara Sukhoi untuk 2 tahun akan datang tanpa perlu mendapatkan alat ganti khusus.
"Dalam masa sama kita tahu keupayaan TUDM, bukan semua alat ganti harus ditampung oleh syarikat dari Rusia. Keupayaan TUDM, sebahagiannya kita mempunyai keupayaan dalaman kita.
"Macam alat ganti dari India, kita tahu mereka mempunyai jumpah pesawat yang lebih besar, melebihi 260 buah. Sudah pasti di situ ada alat ganti yang kita boleh dapatkan," katanya.
Manakala menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Aminolhuda Hassan (PH - Sri Gading) yang meminta penjelasan apakah perlu strategi tertentu pembelian jet tempur terutama alat ganti pada masa hadapan, Adly berkata, pada waktu ini pun TUDM telah mengutamakan aspek senggaraan di samping keupayaan sesebuah jet tempur.
"Bila kita beli pesawat, aspek yang diutamakan bukan sahaja keupayaan tetapi penyelenggaraan. Saya fikir penyelenggaraan ambil belanja besar kepada sesetengah pesawat.
"Ada sesetengah negara bukan secara asasnya menghasilkan Sukhoi tetapi dari segi alat ganti itu, sesetengah pesawat guna alat ganti yang sama termasuk di China (yang banyak menggunakan pesawat Rusia).
"Sebab itu di kala kita memeterai perjanjian membeli FA50 yang baru dari Korea Selatan antara aspek kita ambil kira ialah penyelenggaraan berdasarkan pengunaan di negara ASEAN, dengan cara itu lebih mudah kita dapat produk penyelenggaraan<' katanya lagi.