top of page

Semua pelajar ikuti prasekolah, KPM perlu tingkat kemudahan - PM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jan 23, 2024
  • 2 min read

ree

Oleh: Helmi Mohd Foad


Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Kementerian Pendidikan (KPM) melihat semula pelaksanaan sistem prasekolah di negara ini supaya dapat diikuti oleh semua golongan pelajar.


Perdana Menteri menyatakan kebimbangannya terdapat kelompok dalam masyarakat ketinggalan daripada mendapatkan pendidikan asas itu sehingga melebarkan jurang antara kota dan desa.


"Kalau hanya 80 peratus masuk prasekolah, ada kategori berbeza mungkin 40 peratus baik dan selainnya agak 20 peratus lemah, jadi tak sampai 50 peratus, dalam soal keadilan kita sebenarnya melebarkan kesenjangan antara kota dan desa, kaya kota dan miskin kota serta pedalaman


"Dalam masa singkat pastikan tahun ini kita sediakan kemudahan tambahan supaya prasekolah dikendalikan Kementerian Pendidikan sediakan (kemudahan) kepada semua pelajar yang baharu," katanya.


Beliau membuat gesaan tersebut ketika berucap merasmikan progran Wacana Pemikir Global di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur semalam.


Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Pro-Canselor UM Tan Sri Ramli Ngah Talib dan Naib Canselor UM Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan menyediakan peruntukan terbesar dalam Belanjawan Madani iaitu RM1 bilion tahun lalu kepada KPM namun ia perlu digunakan untuk kemudahan asas seperti tandas di sekolah.


"Tahun 2023, kita belanja RM1 bilion hanya perbaiki tandas, bayangkan kita di dewan indah ini tapi anak-anak sebelum masuk ke sini belajar di sekolah daif walaupun sekolah hebat termasuk Kolej Melayu Kuala Kangsar, 20 tandas masih diperbaiki, tak payah lagi sekolah di Cherok Tok Kun (Pulau Pinang), Manek Urai (Kelantan) atau di Kapit (Sarawak)," katanya.


Perdana Menteri berkata sebanyak 8,600 buah tandas di sekolah perlu dibaiki merupakan suatu perkara yang tidak boleh ditoleransi bagi negara ini.


Katanya masalah asas seperti itu merupakan perkara yang lama diabaikan sejak berdekad lama sedangkan baginya ia perlu diberikan keutamaan.


Katanya masalah kemiskinan tegar turut menjadi keutamaan dengan usaha dilaksanakan bagi menoktahkan keadaan itu..


"Alhamdullilah, kita berjaya melaksanakannya di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Selangor.


"Kita sedang mengumpulkan banyak lagi data dari semua negeri yang lain dengan beberapa sumber telah diberikan," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page