Selangor tegas bendung PATI, sokong penuh agensi penguat kuasa
- Suara Keadilan

- 15 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kerajaan Negeri Selangor menegaskan komitmen untuk terus memberi sokongan penuh kepada semua agensi penguat kuasa dalam mengekang kemasukan serta aktiviti pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri itu.
Pendirian tersebut ditegaskan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari susulan pelaksanaan Operasi Bersepadu Negeri Selangor 2025 di kawasan Selayang Baru, salah satu lokasi panas PATI, pada Sabtu malam.
"Kerajaan Negeri akan terus memberi sokongan penuh bagi memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan kedaulatan undang-undang sentiasa terpelihara demi kesejahteraan rakyat.
"Operasi ini merupakan peringatan kepada semua pihak, termasuk warga tempatan yang menggajikan PATI, supaya mematuhi undang-undang dan peraturan ditetapkan," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Operasi berskala besar yang diselaraskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu bertujuan menangani kemasukan tanpa izin, penyalahgunaan permit, pemalsuan dokumen serta aktiviti lain yang menyalahi undang-undang.
Seramai 358 anggota daripada pelbagai agensi terlibat, termasuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).
Sepanjang operasi, 1,116 individu diperiksa dengan 843 daripadanya disyaki PATI, termasuk 35 wanita ditahan. Operasi itu turut membawa kepada tangkapan dua warga tempatan yang disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Amirudin yang juga merupakan Pengerusi MKN Negeri turut memantau sendiri operasi yang dijalankan.
"Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi terlibat serta anggota bertugas atas komitmen dan pengorbanan demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat," tambah Amirudin.









Comments