
Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan kejayaan akan menjadi milik mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang akan menyertai World Universities Debating Championship (WUDC) di Sepanyol pada hujung tahun ini.
Beliau mengutus kata kata semangat tersebut bersama Setiausaha Politik, Ahmad Farhan Fauzi (gambar, lima dari kiri) yang menghantar para mahasiswa tersebut di KLIA semalam.
"Selamat maju jaya saya ucapkan kepada anak-anak mahasiswa UiTM yang akan menyertai World Universities Debating Championship (WUDC) bermula 27 Disember 2022 sehingga 4 Januari 2023 di Universidad Rey Juan Carlos, Madrid, Sepanyol.
"Saya turut menyampaikan sedikit sumbangan kepada mereka bagi membantu pergerakan dan aktiviti sepanjang berada di Madrid.
"Sumbangan tersebut telah diserahkan oleh Setiausaha Politik saya, saudara Ahmad Farhan Datuk Seri Fauzi sebelum mereka berlepas semalam," katanya.
Beliau juga mendoakan hal serupa kepada rombongan mahasiswa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Malaya (UM) yang mengambil bahagian dalam pertandingan berkenaan.
"Saya turut difahamkan anak-anak mahasiswa dari UIAM dan UM akan turut mengambil bahagian dalam pertandingan ini.
"Saya mendoakan agar anak-anak ini berjaya harumkan nama negara di bumi Sepanyol," katanya.
Turut sama menghantar rombongan pendebat itu adalah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim (gambar, enam dari kiri).