top of page

Sembilan Komuniti MADANI ditubuh di Kuantan, perkasa anak muda, wanita

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 2 hours ago
  • 2 min read
Barisan pemimpin sembilan Komuniti MADANI Parlimen Kuantan merakamkan simbolik 5 jari Malaysia MADANI selepas sesi libat urus di Kuantan, baru baru ini
Barisan pemimpin sembilan Komuniti MADANI Parlimen Kuantan merakamkan simbolik 5 jari Malaysia MADANI selepas sesi libat urus di Kuantan, baru baru ini

Sebanyak sembilan Komuniti MADANI telah ditubuhkan di Parlimen Kuantan melibatkan tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Teruntum, Tanjung Lumpur dan Inderapura bagi memperkukuh agenda perpaduan serta pembangunan komuniti setempat.


Inisiatif di bawah Kementerian Komunikasi Malaysia itu digerakkan dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia Daerah Kuantan sebagai usaha merapatkan jurang komunikasi antara kerajaan dan rakyat di peringkat akar umbi.


Pegawai Khas kepada Fuziah Salleh, Fakhrul Anuar Zulkawi berkata, setiap DUN kini mempunyai tiga komuniti yang berperanan sebagai pemangkin penyebaran maklumat dasar kerajaan dan pelaksanaan inisiatif rakyat.


"Komuniti MADANI bukan sekadar saluran hebahan. Mereka adalah ejen perubahan di kawasan masing-masing.


"Di DUN Teruntum kita fokus kepada isu perumahan bandar dan kos sara hidup. DUN Tanjung Lumpur kita angkat agenda nelayan dan ekonomi pesisir pantai.


"Manakala DUN Inderapura kita beri penekanan kepada komuniti pinggir bandar dan luar bandar serta aspek keterjaminan makanan," katanya selepas sesi libat urus bersama pengerusi komuniti berkenaan.


Beliau menjelaskan, penubuhan komuniti tersebut selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam memastikan maklumat kerajaan sampai secara tepat dan berkesan kepada rakyat.


Sementara itu, Pengerusi Komuniti MADANI Kampung Hijrah, Aidil Haryman Mat Nor menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai platform penting untuk menyalurkan maklumat sahih.


Setiausaha Komuniti MADANI Sungai Isap, Che Ku Mazilah Che Ku Man pula menegaskan peranan wanita akan terus diperkasakan melalui platform tersebut.


"Komuniti MADANI jadi wadah terbaik untuk wanita terlibat dalam pembangunan komuniti. Kita akan pastikan suara dan keperluan wanita diangkat dalam setiap program yang dirancang," ujarnya.


Bagi mewakili golongan muda, Setiausaha Komuniti Seri Kuantan MADANI, Yap Wein Fook berharap penyertaan anak muda dapat menyumbang idea dan tenaga kepada pembangunan setempat.


"Ini ruang untuk kita yang muda sumbang idea dan tenaga untuk Kuantan," katanya.


Dalam pada itu, Pengerusi NGO Komuniti Cenderawasih MADANI, Suresh Subramaniam menekankan kepentingan perpaduan dalam menjayakan agenda pembangunan.


Antara program awal yang dirancang termasuk Jelajah Info MADANI setiap bulan, latihan literasi digital, kempen menentang berita palsu serta pelaksanaan projek ekonomi komuniti melalui Geran Sejati MADANI.


Menurut Fakhrul Anuar, setiap komuniti turut diberikan peruntukan awal bagi melaksanakan aktiviti libat urus.


"Kita mahu mereka jadi rujukan pertama rakyat bila ada kekeliruan tentang dasar kerajaan, bantuan atau isu semasa.


"Ini cara kita pastikan tiada rakyat tercicir daripada arus maklumat," tambah Fakhrul Anuar yang juga Ahli Majlis Bandaraya Kuantan.


Agihan sembilan Komuniti MADANI di Parlimen Kuantan:

DUN Teruntum

  • Komuniti MADANI Kampung Galing

  • Komuniti MADANI Kampung Tengah

  • Komuniti MADANI Kampung Tanjung Api


DUN Tanjung Lumpur

  • Komuniti MADANI Kampung Tanjung Lumpur

  • Komuniti MADANI Kampung Kempadang

  • Komuniti MADANI Sungai Isap


DUN Inderapura

  • Komuniti MADANI Gudang Rasau

  • Komuniti MADANI Kampung Hijrah

  • Komuniti MADANI Kampung Cempaka


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page