Sembilan aktivis Malaysia teruskan misi ke Gaza, PM suntik semangat
- Suara Keadilan

- Oct 4
- 1 min read

Meskipun 23 sukarelawan Malaysia telah pun ditahan tentera Israel di perairan antarabangsa namun hal itu tidak mematahkan saki baki semangat sukarelawan warga Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotilla daripada mencuba untuk masuk ke perairan Gaza bagi menghulurkan bantuan kepada rakyat Palestin yang terkepung.
Petang ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan beliau sempat menghubungi sembilan lagi aktivis dan sukarelawan Malaysia yang kini berada di atas kapal Conscience dan TM Denmark Boat di Laut Mediterranean.
Menurutnya, kapal tersebut telah memasuki zon kuning dan para aktivis dalam keadaan bersemangat meneruskan perjalanan ke Gaza.
"Alhamdulillah, saya sempat menghubungi sembilan lagi aktivis dan sukarelawan kita di atas kapal Conscience dan TM Denmark Boat yang kini berada di tengah laut Mediterranean dan telah memasuki zon kuning," kata Anwar dalam muat naik di media sosial.

Perdana Menteri menyatakan doa serta sokongan penuh terhadap keberanian mereka yang sedang membawa misi kemanusiaan itu.
“Saya suntikkan semangat dan mendoakan agar perjalanan dan usaha mereka menuju Gaza dipermudahkan.
"Pengorbanan mereka dalam mengangkat prinsip kemanusiaan adalah contoh unggul buat seluruh rakyat Malaysia, khususnya generasi masa depan, tentang erti keberanian, tekad, dan solidariti yang tuntas dan tegas,” katanya lagi.
Kerajaan Malaysia menegaskan komitmen untuk terus bersama rakyat Palestin dalam perjuangan mendapatkan kebebasan dan keadilan.









Comments