Semai empati, tolak kebencian - Seru PM Anwar sempena Krismas
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 1 min read

Rakyat Malaysia diseru agar memperkukuh tekad untuk menolak kebencian dan menyemai empati demi keharmonian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kekuatan Malaysia sebagai sebuah negara terletak pada kesatuan dalam kepelbagaian khususnya dalam kalangan masyarakat berbilang agama dan kaum.
"Dalam dunia yang berdepan ketidaktentuan ekonomi, konflik kemanusiaan dan perpecahan sosial, Malaysia memilih jalan perpaduan, dialog dan saling menghormati sebagai asas membina masa depan negara.
"Kerajaan MADANI percaya keharmonian tidak lahir secara kebetulan tetapi dibina melalui dasar yang adil, peluang yang saksama dan budaya saling memahami dalam kalangan rakyat.
"Perpaduan yang tulen terzahir apabila setiap warga dihormati, dilindungi dan diberi ruang untuk menyumbang kepada masa depan negara," katanya.
Seruan itu terkandung dalam perutusan perayaan Hari Natal yang disambut penganut Kristian hari ini.
Menerusi hantaran itu, Perdana Menteri turut menyatakan harapan agar sambutan itu membawa kedamaian, keharmonian serta kemakmuran kepada Malaysia dan seluruh rakyat.





